Wise Tambah eSIM Fleksibel Dan Pembayaran QR Rentas Negara

Wise memperkenalkan pelan eSIM fleksibel serta sokongan pembayaran QR rentas negara yang lebih luas.
Untuk eSIM, pengguna boleh memilih sendiri jumlah data dan tempoh penggunaan berdasarkan perjalanan mereka. Wise menyatakan ciri ini tersedia kepada pengguna di beberapa pasaran termasuk Malaysia, Singapura, Australia, New Zealand, Amerika Syarikat, Kanada, Brazil, United Kingdom dan EEA.

Satu eSIM boleh digunakan untuk pelbagai pelan perjalanan, dengan liputan lebih 150 destinasi melalui pilihan serantau. Wise turut menyatakan pelan yang tidak digunakan boleh menerima bayaran balik mengikut syarat yang ditetapkan.
Dalam masa sama, Wise memperluaskan pengalaman pembayaran QR rentas negara dengan menghubungkan beberapa rangkaian pembayaran termasuk DuitNow, PayNow, QR Ph, Pix, PromptPay, Qvik dan Alipay+.
Ciri ini direka supaya pengguna boleh mengimbas kod QR yang disokong menggunakan akaun Wise tanpa perlu membuka akaun bank tempatan di setiap negara.

Bagi pengguna Malaysia yang kerap melancong, kombinasi eSIM dan pembayaran QR menjadikan aplikasi Wise lebih dekat kepada satu set alat perjalanan yang mengurus sambungan data dan pembayaran sekali gus.