UMPSA, Move Robotic dan PIX Moving Meterai MoA Bangunkan Ekosistem Mobiliti Pintar Malaysia

UMPSA, Move Robotic dan PIX Moving Meterai MoA Bangunkan Ekosistem Mobiliti Pintar Malaysia

Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) dengan Move Robotic Sdn. Bhd. dan Pixel Intelligence Co., Ltd. (PIX Moving) bagi mempercepat pembangunan dan penerapan teknologi mobiliti pintar di Malaysia. Majlis pertukaran dokumen berlangsung di reruai PIX Moving bersempena Paris Motor Show 2026 di Paris Expo Porte de Versailles, Paris.

Melalui kerjasama ini, UMPSA akan melaksanakan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi menambah baik algoritma mobiliti autonomi supaya lebih sesuai dengan persekitaran jalan raya tempatan. Data yang dikumpulkan sepanjang projek turut akan dimanfaatkan untuk membantu algoritma memahami corak pemanduan dan interaksi pengguna jalan raya di Malaysia dengan lebih baik.

Move Robotic — syarikat yang memfokuskan mobiliti autonomi dalam dan luar bangunan — akan menggerakkan penggunaan RoboBus dalam persekitaran komersial sebenar bagi mendapatkan pengalaman operasi, mengenal pasti keperluan pengguna serta menilai cabaran yang perlu diatasi. Syarikat itu juga akan bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan di Malaysia untuk berkongsi dapatan operasi, menyokong penambahbaikan peraturan dan pembangunan garis panduan keselamatan mobiliti pintar.

PIX Moving pula akan membekalkan platform kenderaan autonomi bersama kepakaran teknikal serta pengalaman mengendalikan armada RoboBus secara komersial — asas kepada penyesuaian teknologi mengikut keperluan tempatan. Langkah seterusnya yang disasarkan ialah penggunaan perintis dan ujian RoboBus di Malaysia.

PIX Moving akan membekalkan platform kenderaan autonomi serta kepakaran teknikal untuk projek perintis di Malaysia. Kredit: PIX Moving

Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias berkata kerjasama itu membuka ruang penyelidikan yang menyokong penyesuaian teknologi serta pembangunan aplikasi mobiliti pintar berdasarkan keperluan sebenar negara. “Nilai kerjasama ini terletak pada keupayaan yang dapat kita bangunkan bersama,” katanya.

Majlis pertukaran dokumen disertai Ketua Pegawai Eksekutif PIX Moving, Angelo (Chuan) Yu; Pengarah Pusat Inovasi dan Pemindahan Teknologi UMPSA, Profesor Madya Ts. Dr. Muhammad Aizzat Zakaria; dan Ketua Pegawai Eksekutif Move Robotic, Mohd Hazeli Rasul — disaksikan Duta Besar Malaysia ke Perancis, TYT Datuk Eldeen Husaini Mohd Hashim.

Perkembangan ini menyusuli beberapa ujian kenderaan swapandu di Malaysia kebelakangan ini, termasuk robot penghantaran Zelos yang diuji di jalan raya awam Cyberjaya dan cadangan ujian bas elektrik swapandu WeRide di laluan BRT-Sunway.

Sumber: UMPSA

Baca seterusnya