Sunway Mahu Uji Bas Elektrik Swapandu WeRide Di Laluan BRT-Sunway — Dapat Kelulusan Bersyarat MOT

Sunway Group mengumumkan rancangan meneroka teknologi mobiliti generasi baharu di Malaysia melalui cadangan kerjasama dengan tiga syarikat teknologi antarabangsa — WeRide, Neolix dan AutoFlight — merangkumi pengangkutan awam swapandu, logistik tanpa pemandu dan penerbangan elektrik.
Pengumuman itu dibuat oleh Presiden Sunway Group, Datuk Anuar Taib, di Transport Expo Asia (TXA) 2026. Antara cadangan utama ialah pemerolehan dan ujian dua bas elektrik swapandu keluaran WeRide untuk digunakan di laluan BRT-Sunway. Ujian perintis itu dilaporkan telah menerima kelulusan bersyarat daripada Kementerian Pengangkutan, sebagai langkah awal menilai kebolehlaksanaan pengangkutan awam tanpa pemandu dalam rangkaian mobiliti sedia ada Sunway.
Jika ujian berjaya, teknologi itu berpotensi menyokong perkhidmatan ulang-alik swapandu di seluruh perbandaran bersepadu Sunway — menawarkan kekerapan lebih tinggi dan waktu operasi lebih panjang, khususnya pada awal pagi dan lewat malam.

Di luar pengangkutan penumpang, Sunway bercadang bekerjasama dengan Neolix untuk mengedar kenderaan logistik swapandu di Malaysia. Kenderaan tanpa pemandu itu boleh digunakan untuk penghantaran akhir, pengangkutan barangan dan bekalan perubatan antara fasiliti, termasuk operasi hospital dan penghantaran dalam pembangunan bersepadu Sunway.
Sunway turut meneroka pemerolehan dan ujian pesawat elektrik berlepas dan mendarat menegak (eVTOL) daripada AutoFlight, selain kemungkinan mengedarkan pesawat itu di Malaysia. Syarikat itu dilaporkan akan bekerjasama rapat dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) untuk membuka peluang logistik udara, respons kecemasan dan akhirnya pengangkutan penumpang — tertakluk kepada kebolehlaksanaan teknikal dan kelulusan peraturan.
WeRide, yang tersenarai di Nasdaq, merupakan syarikat pemanduan autonomi global dengan operasi di lebih 60 bandar merentas 13 negara. Langkah Sunway ini hadir ketika ujian kenderaan swapandu di jalan raya Malaysia semakin rancak — robot penghantaran swapandu Tahap 4 Zelos kini diuji di jalan raya awam Cyberjaya — manakala kerajaan mensasarkan teknologi mobiliti pintar dipasang di sekurang-kurangnya separuh daripada lebuh raya negara.
Sumber: New Straits Times