PM Galak Guna Aplikasi TuJu Sebagai Alternatif Waze — Bimbang Data Di Bawah Undang-Undang Israel

Kerajaan menggalakkan orang ramai menggunakan aplikasi navigasi tempatan TuJu, yang dibangunkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), sebagai alternatif bagi keperluan navigasi jalan raya. Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata cadangan itu dibuat susulan kebimbangan terhadap risiko keselamatan maklumat dan data pergerakan rakyat, memandangkan aplikasi Waze terikat di bawah undang-undang kerajaan Israel.
Beliau berkata perkara itu antara yang dibincangkan ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) Bilangan 3/2026 pada Selasa, yang meneliti perkembangan ancaman siber semasa serta memperkukuh kesiapsiagaan dan kedaulatan digital negara.

Mesyuarat turut membincangkan pelaksanaan Akta Keselamatan Siber 2024, keselamatan MyDigital ID, persediaan menghadapi ancaman komputer kuantum melalui kriptografi pasca-kuantum (PQC), ancaman baharu berasaskan kecerdasan buatan autonomi, serta perlindungan Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (NCII).
“Kita tidak boleh berkompromi dalam soal keselamatan data dan identiti rakyat. Justeru, kerajaan memperkukuh ekosistem identiti bersepadu dengan MyKad sebagai kredensial fizikal dan MyDigital ID bagi urusan digital, disokong perlindungan siber yang lebih ampuh termasuk persediaan menghadapi ancaman masa hadapan melalui PQC,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
TuJu dilancarkan pada November 2025 oleh LLM dengan kerjasama Prosignal Consortium sebagai aplikasi navigasi lebuh raya. Selain navigasi laluan, ia menawarkan maklumat tol masa nyata, paparan CCTV trafik, direktori kawasan rehat dan rawat (R&R) termasuk pengecas EV, serta butang bantuan kecemasan SOS. Aplikasi ini boleh dimuat turun secara percuma di Google Play Store dan Apple App Store.
Iraq sebelum ini mengumumkan larangan sepenuhnya ke atas Waze berkuat kuasa awal 2027 atas alasan keselamatan data yang sama, manakala Iran dilaporkan pernah menyekat aplikasi berkenaan. Waze diasaskan di Israel pada 2008 sebelum diperoleh Google pada 2013, dan kekal antara aplikasi navigasi paling popular dalam kalangan pemandu Malaysia.
Sumber: BERNAMA