TuJu Lumpuhkan Sementara Fungsi Navigasi — LLM Mohon Maaf, Janji Pulih Dan Naik Taraf Aplikasi

TuJu Lumpuhkan Sementara Fungsi Navigasi — LLM Mohon Maaf, Janji Pulih Dan Naik Taraf Aplikasi

Aplikasi TuJu sedang menjalani penambahbaikan sistem bagi memberikan pengalaman perjalanan yang lebih baik, dan sepanjang tempoh ini fungsi navigasi akan terganggu sementara.

Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memohon maaf atas kesulitan yang dialami pengguna. LLM bersama penyedia aplikasi, Prosignal Consortium Sdn. Bhd. (PCSB), sedang mengambil tindakan bagi mengenal pasti punca gangguan, memulihkan kestabilan sistem dan meningkatkan keupayaan aplikasi untuk menampung pertambahan pengguna.

Dalam masa yang sama, LLM turut memberi perhatian kepada maklum balas pengguna berhubung fungsi navigasi, ketepatan maklumat laluan dan pengalaman penggunaan aplikasi. Penambahbaikan akan terus dilaksanakan bagi memastikan TuJu dapat memberikan perkhidmatan yang lebih stabil, tepat dan mesra pengguna.

Perhatian terhadap TuJu meningkat selepas penjawat awam dilarang menggunakan Waze, dan penguatkuasaan larangan itu disahkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 22 Oktober.

Kenyataan media LLM dan PCSB mengenai pemulihan dan penambahbaikan aplikasi TuJu
Kenyataan media Lembaga Lebuhraya Malaysia mengenai pemulihan dan penambahbaikan aplikasi TuJu.

Manakala paparan CCTV dan fungsi lain yang tersedia masih boleh digunakan seperti biasa sepanjang tempoh penambahbaikan ini.

TuJu yang mula diperkenalkan pada 26 November 2025, merupakan aplikasi navigasi lebuh raya yang dibangunkan oleh PCSB dengan kerjasama LLM. Selain maklumat perjalanan, aplikasi ini menyediakan kemudahan berkaitan keadaan trafik, kemudahan dan bantuan kecemasan bagi menyokong keperluan pengguna sepanjang perjalanan di lebuh raya.

LLM memahami bahawa kepercayaan pengguna perlu dibina melalui mutu perkhidmatan yang boleh diharapkan. Sehubungan dengan itu, usaha memperkukuh TuJu bukan sahaja tertumpu kepada kestabilan sistem, malah merangkumi peningkatan fungsi navigasi, ketepatan maklumat dan keupayaan aplikasi dalam memenuhi keperluan pengguna.

Selaras dengan keutamaan kerajaan untuk memperkukuh keselamatan siber dan kedaulatan digital negara, LLM akan terus bekerjasama dengan Kementerian Kerja Raya (KKR), Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan pihak berkaitan dalam memperkukuh ekosistem navigasi tempatan, termasuk aspek keselamatan dan tadbir urus data yang perlu diberi perhatian.

Sumber: Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM)

Baca seterusnya