Greece Haramkan Media Sosial Untuk Bawah 15 Tahun Mulai 1 Januari 2027 — Negara EU Pertama Berbuat Demikian

Greece Haramkan Media Sosial Untuk Bawah 15 Tahun Mulai 1 Januari 2027 — Negara EU Pertama Berbuat Demikian

Parlimen Greece meluluskan rang undang-undang yang mengharamkan kanak-kanak bawah 15 tahun daripada menggunakan platform media sosial, dengan larangan itu berkuat kuasa mulai 1 Januari 2027 — menjadikan Greece negara pertama dalam Kesatuan Eropah (EU) yang memperkenalkan sekatan seumpamanya.

Larangan itu meliputi platform utama termasuk TikTok, Instagram, Facebook dan X. Platform terlibat dikehendaki menggunakan kaedah pengesahan umur yang seimbang dan boleh dipercayai, dan kegagalan mematuhi boleh membawa kepada denda di bawah Akta Perkhidmatan Digital (DSA) EU sehingga 6% daripada perolehan global.

Dewan Parlimen Greece ketika bersidang. (Kredit: Wikimedia Commons)

Bagi tujuan pengesahan, kerajaan Greece menawarkan aplikasi Kids Wallet dan Gov.gr Wallet yang disokong kerajaan. Aplikasi itu tidak menghantar tarikh lahir pengguna kepada platform, sebaliknya hanya mengesahkan sama ada pengguna berada di atas atau di bawah had umur 15 tahun melalui apa yang dipanggil token umur. Ibu bapa perlu memasang aplikasi berkenaan dan memautkannya ke peranti anak mereka.

Larangan itu tiada pengecualian — kebenaran ibu bapa tidak boleh mengatasi had umur, dan akaun yang sudah dimiliki kanak-kanak bawah 15 tahun turut terjejas. Had umur dikira mengikut tahun kalendar, dengan 1 Januari sebagai tarikh rujukan: kanak-kanak yang lahir pada 2013 atau selepas itu dilarang menggunakan media sosial mulai 1 Januari 2027.

Rang undang-undang itu diluluskan dengan sokongan parti pemerintah New Democracy sahaja selepas perbahasan yang bermula Khamis dan berlarutan hingga Jumaat, 23 Oktober 2026. Parti pembangkang PASOK berkecuali selepas mencadangkan alternatif yang lebih longgar — larangan untuk bawah 13 tahun dengan kawalan ibu bapa untuk usia 13 dan 14 tahun — manakala parti-parti lain menentang. Perdana Menteri Kyriakos Mitsotakis menyifatkan langkah itu sebagai “sukar tetapi perlu”, dan berkata platform mempunyai kira-kira dua bulan setengah untuk menyediakan kaedah pengesahan umur yang melindungi privasi pengguna.

Mitsotakis pertama kali mengumumkan rancangan itu pada April 2026 dalam satu mesej video yang ditujukan kepada golongan muda, dengan alasan ketagihan reka bentuk aplikasi, gangguan tidur dan tumpuan. Greece sebelum ini mengharamkan penggunaan telefon bimbit di sekolah pada tahun 2024. Langkah terbaharu itu bagaimanapun dikritik 25 kumpulan hak digital, kesihatan mental dan perlindungan kanak-kanak yang memberi amaran tentang risiko privasi, kebebasan bersuara dan kemungkinan kanak-kanak beralih ke perkhidmatan yang tidak dikawal selia.

Greece menyertai gelombang global sekatan media sosial untuk kanak-kanak. Australia menjadi negara pertama di dunia yang meluluskan undang-undang seumpamanya tahun lalu bagi bawah 16 tahun, manakala undang-undang serupa di Perancis dibatalkan Mahkamah Perlembagaan negara itu pada Ogos lalu. Suruhanjaya Eropah pula membentangkan EU Kids Act yang mencadangkan larangan menyeluruh hanya untuk bawah 13 tahun. Malaysia antara negara yang dilaporkan sedang mempertimbang sekatan seumpamanya.

Sumber: Reuters

Baca seterusnya