TuJu Mohon Maaf, Sasar Pulih Dan Naik Taraf Navigasi Selewat-lewatnya 6 November

TuJu memohon maaf atas gangguan fungsi navigasi aplikasinya sejak beberapa hari lalu, dan menyasarkan kerja pemulihan serta penambahbaikan disiapkan selewat-lewatnya 6 November 2026.
Menurut kenyataan media Prosignal Consortium bagi pihak TuJu yang dikeluarkan melalui saluran rasmi aplikasi itu pada 23 Oktober, pasukan teknikal sedang menjalankan kerja pemulihan dan penambahbaikan, dengan sasaran aplikasi kembali stabil dan lancar digunakan dalam tempoh kira-kira dua minggu lagi. Sebarang kemas kini lanjut akan dikongsi melalui saluran rasmi TuJu.
Sementara kerja itu berjalan, fungsi lain aplikasi masih boleh digunakan seperti biasa, termasuk paparan kamera litar tertutup (CCTV) lebuh raya.

Gangguan itu berlaku selepas lonjakan pengguna yang mendadak membebankan pelayan aplikasi navigasi tempatan itu, sehingga fungsi navigasi dilumpuhkan buat sementara waktu untuk penyelenggaraan kecemasan. TuJu sebelum ini digalakkan sebagai alternatif tempatan kepada Waze, susulan larangan penggunaan Waze dalam kalangan penjawat awam.
TuJu diperkenalkan pada 26 November 2025 sebagai aplikasi navigasi lebuh raya yang dibangunkan Prosignal Consortium Sdn Bhd (PCSB) dengan kerjasama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), menawarkan maklumat keadaan trafik, kemudahan dan bantuan kecemasan untuk perjalanan di lebuh raya.
Sumber: TuJu