Casio G-Shock Mudman GDG-B100 Kini Boleh Pra-Tempah Di Malaysia — Harga RM1,049

Casio G-Shock Mudman GDG-B100 Kini Boleh Pra-Tempah Di Malaysia — Harga RM1,049

Casio G-Shock Mudman GDG-B100 kini dibuka untuk pra-tempahan di Malaysia pada harga RM1,049. Jam lasak terbaharu dalam siri Mudman itu dijangka mula dijual minggu depan melalui kedai dalam talian rasmi Casio Malaysia.

Tiga varian ditawarkan — GDG-B100-1 hitam, GDG-B100-1A3 hijau dan GDG-B100-1A5 warna pasir — semuanya berkongsi spesifikasi yang sama pada harga yang sama.

GDG-B100 ialah model Mudman pertama yang menggunakan skrin Memory-in-Pixel (MIP) LCD. Paparan itu menawarkan keterlihatan yang lebih baik di bawah cahaya matahari terik, sambil mengekalkan penggunaan kuasa yang rendah. Ia dipadankan dengan lampu latar LED merah yang direka untuk mengekalkan penyesuaian mata terhadap gelap ketika aktiviti waktu malam.

Dari segi ketahanan, jam ini menggunakan kerangka resin bertetulang gentian karbon dengan struktur Carbon Core Guard, kalis hentakan, habuk dan lumpur, serta kalis air sehingga 200 meter. Ukurannya 63.6 x 49.6 x 16.2mm dengan berat 66g. Casio turut menggunakan resin berasaskan bio untuk kerangka, bezel dan tali jam, selain rekaan bumper guard yang diinspirasikan daripada struktur pelindung kenderaan lasak.

Walaupun tampil sebagai jam digital tradisional, GDG-B100 membawa ciri berhubung melalui Bluetooth. Apabila dipadankan dengan aplikasi Casio Watches, pengguna boleh menikmati pelarasan masa automatik, tetapan jam, waktu dunia merangkumi kira-kira 300 bandar serta notifikasi telefon pintar.

Aplikasi Casio Watches memaparkan log latihan dan tetapan jam yang disegerakkan melalui Bluetooth. Kredit: Casio

Jam ini juga dilengkapi accelerometer untuk mengira langkah dan menjejak latihan asas — termasuk jarak, kelajuan, rentak dan kalori yang dibakar ketika berlari — dengan sokongan sehingga 100 log latihan dan 140 rekod pusingan. Ketepatan ukuran jarak boleh dipertingkatkan melalui penentukuran menggunakan GPS telefon pintar. Turut disertakan jam randik, pemasa undur dengan sokongan ukuran selang, empat penggera harian dan amaran getaran.

Satu perkara yang perlu diketahui bakal pembeli — GDG-B100 tidak dilengkapi pengecasan Tough Solar atau bateri boleh cas semula. Ia bergantung pada bateri boleh ganti CR2032 yang dianggarkan bertahan kira-kira dua tahun.

GDG-B100 diumumkan secara global pada Oktober lalu, dengan harga JPY38,500 (kira-kira RM996) di Jepun. Harga rasmi RM1,049 di Malaysia kini disahkan melalui laman produk Casio Malaysia. Ia menyertai senarai peranti boleh pakai baharu yang tiba di Malaysia bulan ini, termasuk komputer selam Garmin Descent X10.

Sumber: Casio Malaysia

Baca seterusnya