DJI Power Auro 2000 Elite Kini Di Malaysia — Stesen Kuasa Mudah Alih 2kWh Pada Harga RM6,509

DJI Malaysia membawa masuk Power Auro 2000 Elite, stesen kuasa mudah alih terbaharu syarikat itu, pada harga RM6,509. Ia sudah dijual di Malaysia sejak 28 Oktober 2026 melalui pengedar sah DJI di seluruh negara.
Power Auro 2000 Elite mempunyai kapasiti bateri 2,016Wh dengan output stabil 2000W gelombang sinus tulen, dan mampu menyokong peralatan terpilih dengan kuasa terkadar sekitar 2200W. Menurut DJI, ia merupakan stesen kuasa 2kWh paling kompak pernah dihasilkan syarikat itu — 24 peratus lebih kecil dari segi isi padu dan 14 peratus lebih ringan berbanding DJI Power 2000, dengan berat sekitar 19kg.
Apa yang membezakan model ini ialah sistem pengecasan terbina dalam. Ia dilengkapi pengecas kereta 600W dan modul MPPT solar 600W, dua port SDC, serta kabel USB-C boleh tarik 140W yang menyokong PD 3.1 — semuanya terbina dalam satu unit, tanpa modul tambahan yang perlu dibeli berasingan.
Stesen kuasa ini menyokong lima kaedah pengecasan semula. Pengecasan grid sehingga 2000W boleh mengisi dari 0 hingga 80 peratus dalam masa kira-kira 60 minit, manakala pengecasan kereta melalui bateri kenderaan mengambil masa sekitar empat jam untuk cas penuh. Pengecasan solar melalui modul MPPT menyokong input gabungan sehingga 1200W menerusi kedua-dua port SDC, dengan cas penuh dalam masa kira-kira 2.7 jam. Ia juga boleh menggabungkan input solar dan kereta serentak sehingga 600W setiap satu, atau menggunakan mod Intelligent Hybrid Recharging yang menggabungkan kuasa grid dengan solar atau kereta sehingga 2000W.

Dari segi bateri, Power Auro 2000 Elite menggunakan sel lithium iron phosphate (LFP) yang menurut DJI mampu mengekalkan lebih 70 peratus kapasiti asal selepas 6,000 kitaran pengecasan — bersamaan kira-kira 10 tahun penggunaan harian berdasarkan andaian ujian syarikat itu. Sistem ini turut dilengkapi 13 sensor suhu dan 40 fius terbina dalam, serta mod bekalan kuasa tanpa gangguan (UPS) yang bertukar kepada kuasa bateri dalam masa kira-kira 0.01 saat apabila bekalan utama terputus. Pengguna juga boleh memantau status bateri dan tetapan pengecasan melalui aplikasi DJI Home, dan DJI menyatakan bunyi operasi kekal di bawah 30dB ketika beban rendah.
Bagi pengguna dron, stesen kuasa ini menyokong pengecasan pantas SDC sehingga 240W apabila dipadankan dengan DJI Power Fast Charge Cable for Drones (dijual berasingan). DJI menyatakan bateri DJI Air 3 Series boleh dicas dari 10 hingga 95 peratus dalam masa kira-kira 30 minit, manakala bateri DJI Matrice 4 Series mengambil masa kira-kira 35 minit. Ia turut menyokong bateri terpilih untuk DJI Mavic 4 Pro.
DJI turut merancang untuk memperkenalkan bateri pengembangan yang boleh meningkatkan jumlah kapasiti sistem sehingga 12kWh, namun ia akan dilancarkan kemudian dan harganya masih belum diumumkan.
DJI Power Auro 2000 Elite dijual pada harga RM6,509 di Malaysia dan boleh didapati melalui pengedar sah DJI di seluruh negara. Ia didatangkan dengan waranti lima tahun.
Sumber: DJI