REDMAGIC 12 Pro Kini Di Malaysia — Snapdragon 8 Elite Extreme Gen 6, Skrin 185Hz, Harga Bermula RM4,499

REDMAGIC 12 Pro Kini Di Malaysia — Snapdragon 8 Elite Extreme Gen 6, Skrin 185Hz, Harga Bermula RM4,499

REDMAGIC 12 Pro kini rasmi di Malaysia. Telefon gaming flagship daripada nubia ini hadir dengan cip Snapdragon 8 Elite Extreme Gen 6, skrin OLED 6.85 inci dengan kadar segar semula 185Hz, serta bateri 8,400mAh — pada harga bermula RM4,499.

Tiga konfigurasi ditawarkan — 12GB + 256GB pada RM4,499, 16GB + 512GB pada RM4,999, dan 16GB + 1TB pada RM5,899. Dua warna masuk ke pasaran Malaysia, iaitu Nightfreeze (Transparent Black) dan Subzero (Transparent Silver). Jualan bermula 10 November 2026, jam 8 malam, melalui kedai dalam talian REDMAGIC di my.redmagic.gg dan kedai rasmi di Shopee. Sempena jualan 11.11, diskaun RM500 diberikan untuk semua varian — menjadikan harga RM3,999, RM4,499 dan RM5,399.

Skrinnya menggunakan panel BOE OLED 6.85 inci beresolusi 1.5K (1,216 x 2,688) dengan kadar segar semula 185Hz, bezel setipis 0.96mm dan nisbah skrin-ke-badan 96.3 peratus, serta kecerahan puncak sehingga 5,000 nits. Di dalamnya, cip Snapdragon 8 Elite Extreme Gen 6 (2nm) digandingkan dengan cip gaming RedCore R5 dan cip paparan G1, bersama RAM sehingga 16GB dan storan UFS 4.1 Pro sehingga 1TB. Telefon ini menjalankan REDMAGIC OS 12 berasaskan Android 17.

Sistem penyejukan AquaCore Cooling 3.0 menggabungkan penyejukan cecair dua gelung dengan kipas turbo yang boleh mencapai 25,500 RPM, direka untuk mengekalkan prestasi semasa sesi permainan yang panjang. Bateri 8,400mAh pula menyokong pengecasan pantas 80W berwayar dan 80W nirwayar, lengkap dengan pengecasan songsang dan fungsi bypass charging yang mengasingkan kuasa terus ke cip semasa bermain sambil mengecas.

REDMAGIC 12 Pro kalis air dan debu IP68/IP69, dengan kipas turbo yang turut kalis air IPX8. Foto: REDMAGIC

Untuk kamera, REDMAGIC 12 Pro membawa kamera utama 50MP dengan OIS, kamera ultra-lebar 50MP, dan kamera depan 16MP yang tersembunyi di bawah skrin. Telefon ini turut kalis air dan debu IP68/IP69 — dengan kipas turbo sendiri bertaraf IPX8 — serta dilengkapi Wi-Fi 7, NFC, USB 3.2 Gen 2, pengimbas cap jari ultrasonik 3D, IR blaster, bicu audio 3.5mm, pembesar suara stereo Dolby Atmos dan pencetus bahu 520Hz.

Model global ini sama seperti 12 Pro+ yang dilancarkan di China bulan lalu, kecuali nama dan kadar pengecasan — versi global menyokong 80W berwayar dan 80W nirwayar. Varian biru lutsinar dan edisi terhad Golden Saga tidak dibawa masuk ke Malaysia.

Sumber: REDMAGIC

Baca seterusnya