Antigravity A1 Kini Ada Bundle Follow Me Di Malaysia — RM2,799, Alat Kawalan Jauh RM379

Antigravity A1 Kini Ada Bundle Follow Me Di Malaysia — RM2,799, Alat Kawalan Jauh RM379

Antigravity memperluaskan barisan dron A1 di Malaysia dengan dua tawaran baharu — Follow Me Bundle pada harga RM2,799 dan Remote Controller pada harga RM379 — yang kini boleh dibeli melalui kedai fizikal Insta360 Malaysia di seluruh negara serta kedai rasmi Insta360 di Shopee, Lazada dan TikTok.

Follow Me Bundle mengubah A1 menjadi dron 360 darjah yang menjejak subjek, dipadankan dengan Watch Remote dan Ring Remote. Tidak seperti dron follow-me tradisional yang hanya merakam satu perspektif, A1 merakam keseluruhan persekitaran dalam 8K 360 darjah, jadi rakaman boleh dibingkai semula selepas penerbangan — bertukar antara subjek, menambah pan sinematik atau mendedahkan detik yang terlepas.

Juruterbang menerbangkan dron Antigravity A1 dengan gogal Vision dan pengawal gerakan
Seorang juruterbang menerbangkan dron Antigravity A1 menggunakan gogal Vision dan pengawal gerakan di persekitaran bandar. (Kredit: Antigravity)

Penjejakan dipertingkat dengan gabungan penjejakan visual dan GPS terbina dalam Watch Remote, untuk prestasi yang lebih konsisten ketika pergerakan pantas atau ketika subjek terlindung seketika. Watch Remote dengan paparan 1.7 inci membolehkan pengguna berlepas, melihat suapan langsung, mendarat dan memilih subjek untuk dijejak dari pergelangan tangan, manakala Ring Remote pula membolehkan kawalan gerak isyarat Drag-to-Fly — pengguna boleh “menarik” dron dengan tangan dan menggerakkannya mengikut gerakan lengan. Kedua-dua alat kawalan ini bertaraf IP67.

Bundle ini turut merangkumi pelindung kipas penuh (Full-Coverage Propeller Guards) yang menutup sepenuhnya kipas A1 untuk penerbangan altitud rendah yang lebih selamat, beg silang badan dan satu bateri penerbangan berkapasiti tinggi. Bagi pemilik A1 sedia ada, Kit Aksesori Follow Me — Ring Remote, Watch Remote dan pelindung kipas penuh — dijual pada harga RM1,499, dengan harga promosi RM1,199.

Remote Controller pula membawa kawalan dwi-joystik yang lebih biasa kepada A1, lengkap dengan ciri Fixed View yang menyelaraskan sudut kamera dengan arah dron dan Virtual Gimbal untuk melaraskan sudut kamera ketika penerbangan. Ia dijual berasingan pada harga RM379 (promosi RM299), atau dalam Remote Controller Bundle pada harga RM7,499 bersama dron A1, gogal Vision, tiga bateri penerbangan berkapasiti tinggi, Quick Reader, kipas ganti dan beg galas. Pembeli bundle Motion Control sedia ada atau baharu turut layak mendapat diskaun 20% untuk Kit Aksesori Follow Me atau Remote Controller berasingan.

Sumber: Antigravity

Baca seterusnya