Tesla Buka Supercharger V4 Di IPC Mutiara Damansara — 4 Pengecas DC 250kW, Serendah RM0.69/kWh

Tesla membuka stesen Supercharger baharu di IPC Shopping Centre, Mutiara Damansara — lokasi terbaharu rangkaian pengecasan pantas itu di Lembah Klang, lengkap dengan empat pengecas DC V4 yang mampu membekalkan kuasa sehingga 250kW.
Stesen baharu itu terletak di aras P2, berhampiran Tiang G4, dan turut dilengkapi dua pengecas AC Destination Charger untuk pengecasan lebih perlahan.

Dari segi harga, Supercharger di IPC dikenakan kadar RM1.07 sekilowatt-jam (kWh) pada waktu biasa. Kadar lebih rendah ditawarkan pada waktu luar puncak — RM0.69/kWh antara 11 malam hingga 4 pagi, dan RM0.88/kWh antara 4 pagi hingga 9 pagi.
Bagaimanapun, lokasi ini dikhaskan untuk kenderaan Tesla sahaja. Pemilik EV jenama lain boleh menggunakan tiga pengecas AC 22kW yang disediakan IPC di aras P2 yang sama, diaktifkan melalui aplikasi IPC.
Pengecas V4 Supercharger boleh menambah jarak pemanduan sehingga 270 kilometer dalam masa 15 minit, menurut Tesla.
Pembukaan di IPC ini adalah sebahagian daripada pelan pengembangan rangkaian Tesla di Malaysia. Tesla sebelum ini mengumumkan enam stesen pengecasan baharu menjelang akhir 2026, meliputi Selangor, Kuala Lumpur, Perak, Seremban dan Pulau Pinang — dan dengan IPC kini beroperasi, lima lagi lokasi masih perlu dibuka sebelum tahun berakhir.
Untuk konteks, Tesla turut menurunkan kadar Supercharger untuk EV bukan Tesla di empat lokasi sedia ada pada awal minggu ini, serendah RM1.26/kWh pada waktu luar puncak.
Sumber: SoyaCincau