Microsoft Bina Wilayah Awan Kedua Di Johor Bahru — Southeast Asia 3 Bakal Jadi Yang Terbesar Di Asia Tenggara

Microsoft Bina Wilayah Awan Kedua Di Johor Bahru — Southeast Asia 3 Bakal Jadi Yang Terbesar Di Asia Tenggara

Microsoft mengesahkan pembinaan wilayah awan keduanya di Malaysia — Southeast Asia 3 (SEA3) di Johor Bahru — yang bakal menjadi wilayah awan terbesar syarikat itu di Asia Tenggara apabila ia mula beroperasi kelak.

Wilayah baharu itu akan melengkapi Malaysia West di Kuala Lumpur Raya, wilayah awan pertama Microsoft di Malaysia yang mula beroperasi pada Mei 2025 dengan tiga zon ketersediaan dan hampir 200 perkhidmatan yang kini tersedia secara umum. Bersama-sama, kedua-dua wilayah itu membolehkan organisasi di Malaysia membina seni bina merentas dua wilayah awan dalam negara, dengan data kekal dalam Malaysia.

SEA3 direka sebagai wilayah sedia-AI, dengan infrastruktur yang menyokong beban kerja termaju serta perkhidmatan AI untuk pelanggan sektor awam dan swasta, disokong privasi dan keselamatan bertaraf dunia. Ia juga memberi organisasi Malaysia dan global lebih banyak pilihan untuk membina seni bina berbilang wilayah di atas Microsoft Azure.

Grafik Microsoft menunjukkan wilayah awan Southeast Asia 3 di Johor Bahru
Southeast Asia 3 di Johor Bahru bakal menjadi wilayah awan terbesar Microsoft di Asia Tenggara. (Grafik: Microsoft)

Dari segi kelestarian, SEA3 akan menggunakan penyejukan gelung tertutup dan penyejuk udara yang menghapuskan penyejatan air untuk penyejukan, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada sumber air tempatan dengan ketara. Penjana sandarannya pula direka untuk beroperasi menggunakan biofuel boleh diperbaharui bagi mengurangkan pelepasan karbon bersih, manakala pusat data milik Microsoft akan dibina untuk mencapai sekurang-kurangnya pensijilan LEED Gold.

Langkah ini hadir ketika penggunaan AI di Malaysia terus meningkat. Laporan AI Diffusion Microsoft bagi suku kedua 2026 menganggarkan penggunaan AI generatif di Malaysia pada 22.6 peratus, kedua tertinggi di Asia Tenggara selepas Singapura, manakala Indeks Trend Kerja 2026 mendapati 69 peratus pengguna AI Malaysia berkata mereka menghasilkan kerja yang tidak mampu dihasilkan setahun lalu.

“Dengan Malaysia West di Kuala Lumpur Raya dan Southeast Asia 3 yang bakal tiba di Johor Bahru, organisasi Malaysia akan mempunyai lebih banyak pilihan dalam cara mereka membina, menjalankan dan mengembangkan awan sambil memajukan inovasi AI mereka,” kata Laurence Si, Pengarah Urusan Microsoft Malaysia, ketika ucaptama di Cloud & AI Innovation Day di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Organisasi Malaysia yang sudah menjalankan beban kerja termaju di atas Microsoft Cloud termasuk EDOTCO Group, LHDN Malaysia, Johor Corp, DKSH, PETRONAS, AFFIN Bank, EPF Malaysia dan Secret Recipe.

Microsoft turut melabur dalam komuniti sekitar Johor Bahru, termasuk program Skills2Work Datacenter Foundations bersama The Asia Foundation dan Universiti Teknologi Malaysia yang melatih 150 graduan baharu selama 12 bulan, pemasangan sistem penuaian air hujan di 42 sekolah di Johor yang memanfaatkan lebih 20,000 orang dan menjimatkan 8.4 juta liter air setahun, serta projek pemulihan bakau selama tiga tahun bersama Belia Prihatin dan WWF Malaysia.

Microsoft tidak menyatakan tarikh SEA3 akan mula beroperasi setakat ini. Wilayah itu menyertai lebih 70 wilayah Azure di seluruh dunia, dan hadir ketika pelaburan pusat data di Malaysia terus rancak — termasuk pusat data Google di Elmina yang kini beroperasi.

Sumber: Microsoft

Baca seterusnya