AEON FacePay Kini Di Malaysia — Bayar Barangan Runcit Dengan Imbasan Wajah Di AEON KL Midtown

AEON Credit memperkenalkan FacePay, kaedah pembayaran menggunakan pengecaman wajah yang pertama seumpamanya di Malaysia. Ia kini tersedia di AEON Supermarket KL Midtown, membolehkan pengguna berdaftar membayar barangan runcit hanya dengan mengimbas wajah mereka di kaunter layan diri — tanpa perlu mengeluarkan dompet, kad atau telefon pintar.
Untuk menggunakannya, pengguna perlu mendaftar sekali sahaja melalui aplikasi AEON Wallet. Buka aplikasi, pergi ke Profile dan ketik Set up FacePay, kemudian daftar data wajah dan cipta kod enam digit Face Code. Kod ini diperlukan sebagai pengesahan tambahan untuk pembayaran melebihi had tertentu.
Semasa pembayaran, pengguna hanya perlu memilih FacePay di kaunter layan diri dan mengimbas wajah. Sistem akan mengenal pasti pengguna dan memproses bayaran melalui AEON Wallet atau kad AEON yang layak — pengguna yang mempunyai lebih daripada satu produk pembayaran boleh memilih akaun atau kad yang ingin digunakan sebelum mengesahkan transaksi.
Menurut AEON Credit, FacePay menggunakan pengecaman wajah dengan pengesanan keaktifan (liveness detection) bagi mengelakkan pembayaran tanpa kebenaran menggunakan gambar. Setiap pembayaran yang berjaya akan disertakan dengan notifikasi dalam aplikasi AEON Wallet, dan pengguna boleh menyemak sejarah transaksi dalam aplikasi yang sama.

Sebagai galakan awal, AEON Credit menawarkan 1 mata AEON tambahan bagi setiap RM1 yang dibelanjakan menggunakan FacePay dengan AEON Wallet atau kad AEON yang layak, dari 5 November hingga 31 Disember 2026. Digabungkan dengan ganjaran kad sedia ada, pengguna boleh memperoleh sehingga 6x mata AEON. Kempen ini terhad kepada peruntukan keseluruhan 300,000 mata AEON atas dasar siapa cepat dia dapat, dan mata bonus akan dikreditkan dalam tempoh 30 hari bekerja. Ia terbuka kepada pemegang akaun AEON Wallet Basic dan Premium serta pemegang kad kredit dan prabayar AEON Member Plus terpilih.
Bersama FacePay, AEON Credit turut membuka cawangan AI Flagship pertamanya di AEON Mall KL Midtown. Cawangan ini menampilkan AI Greeter yang menyambut pelanggan dan mengarahkan mereka ke perkhidmatan yang sesuai, selain Smart Pods peribadi untuk meneroka produk kewangan melalui panel digital atau berhubung dengan ejen dalam talian secara langsung. Terdapat juga Members’ Lounge untuk pelanggan berehat dan menyertai aktiviti komuniti.
Menurut AEON Credit, KL Midtown akan menjadi lokasi perintis untuk teknologi baharu, dengan rancangan untuk membawa pengalaman serupa kepada lebih ramai pelanggan pada masa depan.
Bagi yang lebih selesa dengan cara lama, pembayaran menggunakan AEON Wallet atau kad fizikal AEON masih boleh digunakan seperti biasa. FacePay menambah lagi pilihan pembayaran tanpa sentuh di Malaysia, selepas TNG eWallet baru-baru ini memperkenalkan tempahan e-hailing luar negara dalam aplikasinya.
Sumber: AEON Credit