myFirst Insta magiBox Kini Di Malaysia — Pencetak AI Suara Untuk Kanak-Kanak, Harga RM329

myFirst Insta magiBox Kini Di Malaysia — Pencetak AI Suara Untuk Kanak-Kanak, Harga RM329

myFirst membawa masuk Insta magiBox ke Malaysia — pencetak kreatif berkuasa suara yang direka untuk kanak-kanak, dijual pada harga RM329. Ia membuat penampilan sulung di Malaysia pada 6 November 2026 di myFirst Brandstore, Sunway Pyramid, di bawah tema “The Magic Begins”.

Cara ia berfungsi cukup mudah: kanak-kanak tekan satu butang, sebut idea mereka, dan magiBox menukarnya kepada ilustrasi melalui ciri Voice-to-Image dalam enam gaya — Anime, Cartoon, Pencil Art, Line Art, Ink Splash dan Doodle. Ciri Voice-to-Story pula mengembangkan idea itu menjadi cerita bergambar empat babak yang bersambung.

Hasilnya dicetak serta-merta menggunakan cetakan terma tanpa dakwat, dalam bentuk hitam-putih yang boleh diwarna, dihias dan ditampal sebagai pelekat. Tiada kartrij atau toner diperlukan, dan kertas yang digunakan bebas BPA dan BPS.

Dari segi spesifikasi, magiBox dilengkapi skrin HD 2.8 inci dan bateri 1,300mAh yang menyokong sehingga 120 cetakan Voice-to-Image dengan sekali cas. Ia memahami 26 bahasa termasuk Bahasa Melayu, dan dilengkapi penapis keselamatan yang menapis topik keganasan, pornografi serta ucapan kebencian sebelum sebarang imej dijana. Persediaan awal dibuat melalui aplikasi myFirst Circle; selepas itu peranti berfungsi sendiri, cuma masih memerlukan sambungan internet kerana penjanaan imej dikuasakan oleh Gemini, OpenAI dan Qwen.

Insta magiBox dalam warna Aqua Blue — satu lagi pilihan warna ialah Blossom Pink. Foto: myFirst

Dalam kotak, pembeli menerima tiga gulungan pelekat terma, dua gulungan Quick-Peel, dua sarung silikon boleh tukar, lapan pen marker, kabel USB-C dan pelekat hiasan. Peranti ditawarkan dalam dua warna, Aqua Blue dan Blossom Pink.

Pembeli terawal menerima satu myFirst CareBuds percuma selagi stok masih ada. Dari 6 November 2026 hingga 3 Januari 2027, pembelian RM150 ke atas turut layak mendapat satu penyertaan cabutan bertuah dan kotak hadiah Krismas percuma bersama Ribena. Pelancarannya hadir serentak dengan musim jualan 11.11, ketika pelbagai jenama menawarkan diskaun hujung tahun.

Insta magiBox dijual melalui laman rasmi my.myfirst.tech, kedai rasmi myFirst di Lazada, Shopee dan TikTok Shop, serta brandstore di AEON Mall Tebrau City, IOI City Mall, IOI Damansara dan Sunway Pyramid — selain pengedar sah Asashi, Metapod, Popular dan TMT.

Turut dilancarkan pada hari sama di Malaysia ialah ViewTalkie, walkie-talkie video untuk kanak-kanak, dan CareSip, botol air dengan kunci cap jari — manakala jam tangan pintar Watch F1 dijual dalam talian sahaja.

Sumber: myFirst

Baca seterusnya