Liputan ULTRA5G U Mobile di Sabah Kini Mencapai Kira-Kira 2.3 Juta Penduduk

Liputan ULTRA5G U Mobile di Sabah Kini Mencapai Kira-Kira 2.3 Juta Penduduk

U Mobile memaklumkan liputan rangkaian ULTRA5G di Sabah kini meliputi kira-kira 2.3 juta penduduk. Pencapaian itu disokong menerusi kerjasama dengan CTS Horizon, yang membekalkan infrastruktur gentian bagi menyokong perluasan rangkaian 5G U Mobile di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Menurut U Mobile, perluasan liputan itu merangkumi beberapa kawasan utama termasuk Kota Kinabalu, Penampang, Tuaran, Papar dan Keningau. Ketika ini, lebih 545 tapak rangkaian di seluruh Sabah telah dinaik taraf dengan sokongan infrastruktur gentian yang menyediakan kapasiti sehingga 10Gbps bagi setiap tapak.

Peningkatan itu merupakan lonjakan ketara berbanding kapasiti sekitar 1Gbps yang lazim digunakan untuk rangkaian 4G sebelum ini. Pada masa yang sama, infrastruktur baharu itu turut diperkukuh bagi mengurangkan risiko gangguan perkhidmatan serta memastikan tahap kebolehpercayaan rangkaian yang lebih tinggi.

Telefon yang disambungkan ke rangkaian U Mobile ULTRA5G. Foto: U Mobile

Selain kawasan luar, rangkaian ULTRA5G U Mobile turut tersedia di beberapa lokasi tumpuan seperti Wisma Merdeka, Imago Mall dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. U Mobile berkata perluasan liputan itu dijangka menyokong aktiviti perdagangan, pelancongan dan perusahaan, di samping memperluaskan akses kepada rangkaian berkelajuan tinggi di seluruh Sabah.

Menurut Ketua Pegawai Teknologi U Mobile, Woon Ooi Yuen, kerjasama infrastruktur strategik dengan CTS Horizon memainkan peranan penting dalam mempercepatkan peluasan rangkaian di negeri itu, di samping mengukuhkan kapasiti dan kebolehpercayaan rangkaian.

U Mobile menghidupkan rangkaian ULTRA5G di Kota Kinabalu pada Ogos 2025, dan pada Oktober 2026 syarikat itu mengumumkan rangkaian ULTRA5G telah meliputi 90 peratus kawasan berpenduduk di seluruh Malaysia.

Sumber: Amanz

Baca seterusnya