JENDELA Diubah Suai Guna Starlink Dan Sel Kecil — RM5 Bilion Untuk Tutup Baki 1% Liputan Internet

Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) sedang diubah suai untuk menggunakan teknologi alternatif seperti Starlink dan sel kecil dalam usaha mencapai liputan internet 100 peratus di kawasan berpenduduk, kata Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Beliau berkata perubahan strategi itu disokong peruntukan RM5 bilion bagi tempoh beberapa tahun, bagi memastikan kawasan pedalaman yang sukar diakses tidak lagi tercicir. Kenyataan itu dibuat ketika beliau menjadi tetamu rancangan Agenda AWANI bertajuk “Belanjawan 2027: Rapatkan Jurang Digital, Pacu Ekonomi Kreatif” pada malam 26 Oktober.
“Mungkin bukan semua tempat kita akan pasang menara (telekomunikasi). Setengah tempat kita akan pasang Starlink, setengah tempat kita akan pasang sel kecil, cukup untuk 40 hingga 50 orang yang tinggal di kawasan itu,” katanya — dengan matlamat memastikan 100 peratus liputan di kawasan berpenduduk, termasuk kawasan yang paling pedalaman.
Menurut beliau, membina menara menelan kos tinggi, jadi teknologi yang lebih sesuai dengan komuniti akan digunakan — dan teknologi itu boleh dinaik taraf kemudian apabila komuniti tersebut membesar.
Liputan internet di kawasan berpenduduk ketika ini sudah mencecah 99 peratus, dan baki satu peratus itu memerlukan penyelesaian yang lebih praktikal serta bersesuaian dengan saiz komuniti setempat.

Fahmi turut membangkitkan satu lagi jurang liputan: di banyak rancangan FELDA, liputan di dalam kawasan rancangan adalah baik, tetapi sebaik sahaja keluar ke jalan utama yang menghubungkan rancangan itu dengan pekan, selalunya tiada talian — situasi yang disifatkannya berbahaya, dan JENDELA akan memberi tumpuan melengkapkan kawasan seperti itu.
Penyusunan semula JENDELA itu juga menandakan anjakan paradigma — daripada hanya memfokuskan Liputan Kawasan Berpenduduk (COPA) kepada Liputan Kawasan Ekonomi (Economic Area Coverage).
Ketersambungan menyeluruh itu turut disokong peruntukan RM142 juta untuk memperkasakan 1,099 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di seluruh negara.
Fahmi turut menekankan infrastruktur internet berkelajuan tinggi yang disediakan kerajaan mesti seiring dengan literasi digital dan kesedaran keselamatan dalam kalangan orang ramai, bagi membendung jenayah siber dan penipuan dalam talian.
Sumber: Bernama