WartaOneWartaAITentang

Ejen AI Meta Muse Kini Boleh Diakses Pengguna Malaysia – Bermula RM65 Sebulan

Oleh Fahim ·

Ejen AI Meta Muse Kini Boleh Diakses Pengguna Malaysia – Bermula RM65 Sebulan

Beberapa bulan lepas, Meta memperkenalkan model dasar (Foundational Model) baharu mereka iaitu Muse Spark. Ia adalah model bahasa raya sumber tertutup Meta tersendiri berbanding Llama yang bersifat sumber terbuka.

Selepas beberapa pengenal model seperti Muse Spark 1.1, Muse Code, Muse Image, Muse Video dan kini sudah sampai ke Muse Spark 1.3 – beberapa minggu lepas platform ejen AI untuk pengguna Muse dilancarkan. Namun ketika pelancaran ia terhad kepada pengguna Amerika Syarikat. Hari ini, secara mengejut Muse sudah boleh digunakan di Malaysia secara rasmi.

Aplikasi Muse yang berada di Apple App Store dan Google Play Store masih tidak boleh dimuat turun tetapi pemasangan sisi melalui fail APK tidak menghalang pengguna dari mencubanya. Akses melalui web dilihat tiada masalah untuk diakses dengan pengguna hanya perlu log masuk dengan akaun Meta.

Muse dilihat memfokuskan kepada penggunaan sebagai ejen AI peribadi pengguna. Ia mempunyai lebih 30 aplikasi yang boleh disambungkan termasuk mempunyai pelayar web tersendiri. Malah Muse turut menyokong sambungan kepada aplikasi Google seperti Google Docs, Google Sheet, Google Task, Google Drive dan banyak lagi. Selain turut menyokong sambungan kepada Peloton, Withings, Calendly, Outlook dan pengguna turut boleh sambungkan kad pembayaran melalui Link oleh Stripe (masih terhad untuk pengguna Amerika Syarikat).

Untuk penggunaan pelayar web, Muse mempunyai Secure store untuk menyimpan nama pengguna dan kata laluan agar mana-mana laman web boleh dilog masuk secara automatik.

Disebabkan Muse adalah platform Meta, ejen AI ini boleh terus disambungkan ke dalam WhatsApp pengguna dengan hanya klik pada satu butang. Lebih mudah berbanding sambungan kepada Telegram atau Slack. Untuk memastikan Muse menjadi ejen AI peribadi pengguna yang lebih efisien, pengguna boleh mengimport memori dari platform AI lain.

Untuk harga, memandangkan aplikasi di Malaysia masih belum boleh diakses harga langganan tempatan melalui App Store dan Play Store masih belum jelas. Di Web, dua pelan yang ditawarkan adalah;

Power – RM65/sebulan500J token Muse mingguan
Maximum – RM329/sebulan3B token Muse mingguan

Dalam cubaan ringkas saya hari ini, Muse dilihat sebagai pesaing kepada Grok Bot yang ada potensi namun setakat ini kemampuan Muse dilihat sebagai lebih kepada pekerja pelatih berbanding Grok Bot pada hari ini yang sudah hampir berada di tahap pekerja berpengalaman.