WartaOneWartaAITentang

Grok Bot Kini Hadir Di Android – Dilancarkan Pada 2 September

Oleh Fahim ·

Grok Bot Kini Hadir Di Android – Dilancarkan Pada 2 September

Selepas diperkenalkan secara rasmi pada Ogos lalu, Grok Bot kini memperluaskan ketersediaannya dengan pelancaran aplikasi untuk Android pada 2 September.

Grok Bot merupakan platform ejen AI yang membolehkan pengguna mencipta beberapa bot dengan peranan dan tugasan tersendiri. Berbeza dengan penggunaan Grok sebagai chatbot biasa, setiap Grok Bot mempunyai persekitaran komputer tersendiri di awan dan boleh terus menjalankan tugasan bagi pihak pengguna.

Melaluinya, pengguna boleh mempunyai beberapa bot yang bekerja secara serentak – misalnya untuk melakukan kajian, menulis kandungan, mengurus tugasan operasi ataupun membantu pembangunan aplikasi.

Grok Bot turut mempunyai kaitan rapat dengan Cursor, dengan teknologi ejen AI dan pembangunan aplikasi menjadi antara komponen penting dalam pengalaman yang ditawarkan. Ia merupakan sebahagian daripada perkembangan ekosistem AI melibatkan Grok, xAI, Cursor dan SpaceX yang semakin diperluaskan kepada tugasan sebenar, bukan sekadar menjawab pertanyaan pengguna.

Setiap bot juga boleh menggunakan komputer awannya untuk mengakses pelayar web, terminal, fail serta pelbagai perkhidmatan lain yang diperlukan untuk menyelesaikan sesuatu tugasan. Kerja boleh terus berjalan di awan tanpa memerlukan komputer utama pengguna sentiasa dibuka.

Kini dengan aplikasi Grok Bot untuk Android yang dilancarkan, pengguna boleh mengakses dan mengurus bot mereka terus melalui telefon pintar, termasuk memberikan tugasan baharu serta mengikuti perkembangan kerja yang sedang dilakukan.

Pelancaran versi Android ini sekaligus menjadikan Grok Bot lebih mudah digunakan ketika bergerak, khususnya untuk mereka yang telah menggunakan beberapa ejen AI sebagai sebahagian daripada aliran kerja harian. Jadi tidak lagi perlu sambung kepada Slack atau Telegram.

Grok Bot sendiri telah dilancarkan sejak Ogos. Kehadiran aplikasi Android ini pula memperlihatkan langkah seterusnya untuk membawa konsep “pekerja AI” yang sentiasa tersedia kepada lebih ramai pengguna dan peranti.

Muat turun Grok Bot di Google Play Store.