Meta Ambil Alih Conductor — Aplikasi Ejen Pengekodan AI Yang Jalankan Claude Code Dan Codex Serentak

Meta mengambil alih Conductor, syarikat pemula yang membangunkan aplikasi untuk menjalankan beberapa ejen pengekodan AI secara serentak. Pengambilalihan itu disahkan pengasas dan ketua pegawai eksekutif Conductor, Charlie Holtz, menerusi pengumuman di blog syarikat pada 4 November 2026.
“I have big news: Conductor is joining Meta,” tulis Holtz. Laporan awal mengenai perjanjian itu dibuat oleh Axios, dan Meta mengesahkan pengambilalihan tersebut kepada TechCrunch tanpa mendedahkan sebarang butiran lanjut. Nilai perjanjian tidak didedahkan.
Conductor diasaskan pada 2024 oleh Holtz bersama ketua pegawai teknologi, Jackson de Campos. Aplikasi Mac syarikat itu dilancarkan pada Julai 2025 dan membolehkan pembangun mencipta salinan terpencil kod yang sama, menjalankan ejen AI berbeza dalam setiap salinan, kemudian menyemak dan menggabungkan hasil kerja mereka.
Aplikasi itu menyokong ejen daripada makmal AI lain — termasuk Claude Code oleh Anthropic, Codex oleh OpenAI dan Cursor — dan pengguna membayar untuk ejen tersebut melalui langganan mereka sendiri. Menurut Conductor, lebih 100,000 pembangun menggunakan produk itu.
Pasukan Conductor akan menyertai Meta Superintelligence Labs dan bekerja bersama ketua pegawai AI Meta, Alexandr Wang, serta ketua produk makmal itu, Nat Friedman, untuk membangunkan antara muka baharu yang dijangka diperkenalkan awal tahun hadapan.

Bagaimanapun, produk Conductor sedia ada akan ditamatkan secara berperingkat. Pendaftaran pengguna baharu dan muat turun aplikasi dihentikan bermula 4 November. Perkhidmatan awan Conductor Cloud akan menjadi baca-sahaja pada 13 November sebelum ditutup sepenuhnya pada 20 November, dan syarikat akan mula memadam data awan pengguna selepas tarikh itu.
Aplikasi Mac tempatan pula akan terus berfungsi dan menerima model baharu serta pembaikan pepijat kritikal sehingga awal 2027.
Pengambilalihan itu berlaku pada hari sama OpenAI dilaporkan bersetuju mengambil alih Pierre Computer, syarikat pemula alat pembangun di sebalik sebahagian teknologi Codex.
Sumber: Conductor