Diskaun Tol 50% Sempena Deepavali — 6 Dan 7 November, Ini Plaza Yang Dikecualikan

Pengguna lebuh raya bakal menikmati diskaun tol 50 peratus selama dua hari sempena sambutan Deepavali — bermula 12 tengah malam ini, Jumaat 6 November, hingga 11.59 malam Sabtu, 7 November 2026.
Pengumuman itu dibuat Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, pada Khamis. Diskaun berkenaan diberikan kepada kenderaan persendirian Kelas 1 di semua plaza tol, serta kenderaan Kelas 2 di Jambatan Pulau Pinang.
Bagaimanapun, dua plaza tol di sempadan negara dikecualikan — Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang (TTK) di Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA). Pengguna yang melalui kedua-dua plaza itu masih perlu membayar kadar tol biasa.
Menurut Nanta, pemberian diskaun itu dianggarkan melibatkan bayaran pampasan sebanyak RM20.11 juta kepada syarikat konsesi lebuh raya yang terlibat, yang akan ditanggung oleh kerajaan tertakluk kepada pengesahan data trafik sepanjang tempoh pelaksanaan.

Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menjangkakan sebanyak 3.28 juta kenderaan sehari akan menggunakan lebuh raya utama pada hari puncak Deepavali, yang disambut pada Ahad, 8 November. Rangkaian PLUS sahaja dijangka merekodkan 2.24 juta kenderaan.
Sebagai langkah persediaan, kerja penyelenggaraan yang membabitkan penutupan lorong ditangguhkan sementara dari 6 hingga 10 November, kecuali untuk kerja kecemasan. PLUS turut mengaktifkan Smart Lane di 32 lokasi.
Pengguna dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal, memastikan baki kad Touch ‘n Go dan eWallet mencukupi, serta menyemak maklumat trafik semasa melalui saluran rasmi LLM dan PLUS sebelum memulakan perjalanan.
Sumber: Sinar Harian