Universiti Mula Kurang Bergantung Pada Pengesan Teks AI – Tidak Lagi Berguna

Sebahagian pensyarah universiti di Amerika Syarikat mula mengurangkan pergantungan kepada AI detector bagi menentukan sama ada tugasan pelajar dihasilkan menggunakan AI.
Laporan AFP yang diterbitkan Malay Mail menunjukkan beberapa tenaga pengajar beralih kepada kaedah seperti peperiksaan lisan, perbincangan terus dengan pelajar dan penilaian proses kerja.
Salah satu teknik yang pernah digunakan ialah menyembunyikan arahan dalam tugasan untuk melihat sama ada ia akan diikuti oleh AI. Namun pendekatan seperti itu juga semakin mudah dikesan dan tidak boleh dijadikan kaedah tunggal.
Turnitin sendiri memberi amaran bahawa AI Writing Report boleh tersalah mengenal pasti teks manusia, teks AI atau teks yang telah diparafrasa.
Dalam panduan rasminya, Turnitin menyatakan keputusan pengesanan AI tidak sepatutnya menjadi satu-satunya asas untuk mengambil tindakan terhadap pelajar. Pertimbangan manusia, dasar institusi dan bukti lain masih diperlukan.
Turnitin juga menganggap skor di bawah 20% kurang boleh dipercayai, sebab itu sebahagian hasil rendah dipaparkan dengan tanda asterisk dan bukannya peratus tepat.
Isunya bukan sama ada AI detector langsung tidak berguna, tetapi sama ada ia cukup tepat untuk dijadikan bukti muktamad. Jawapan daripada Turnitin sendiri ialah tidak.