Setel Perkenal Voice Fuelling – Isi Minyak Dengan Arahan Suara

Setel memperkenalkan Voice Fuelling, ciri baharu yang membolehkan pengguna mengaktifkan pam minyak di stesen PETRONAS menggunakan arahan suara.
Selepas membuka aplikasi Setel di stesen PETRONAS, pengguna hanya perlu menyebut nombor pam seperti “Pump 5” atau sekadar “5”. Sistem kemudian akan meminta pengguna mengesahkan nombor pam sebelum proses mengisi minyak diteruskan.
Voice Fuelling menyokong empat bahasa, iaitu Bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin dan Tamil. Setel menyifatkannya sebagai ciri Voice Fuelling pertama di Malaysia.

Untuk menggunakannya, pengguna perlu mempunyai aplikasi Setel versi 1.211.0 atau lebih baharu, mengaktifkan One-tap Fuelling serta memberikan akses mikrofon kepada aplikasi. Selepas diaktifkan, ciri ini boleh digunakan di stesen PETRONAS yang menyokong Setel.
Kaedah pembayaran yang boleh digunakan melalui One-tap Fuelling termasuk Setel Wallet, Family Wallet, CardTerus dan PETRONAS SmartPay.
Ciri ini tidak bermaksud pengguna boleh terus menyebut jumlah minyak tanpa membuka aplikasi. Pengguna masih perlu membuka Setel terlebih dahulu dan Voice Fuelling digunakan untuk mengenal pasti serta mengaktifkan nombor pam.