Ray-Ban Meta Gen 3 dan Oakley Meta Tiba di Malaysia 20 Oktober — Bermula RM2,069

Empat model kaca mata AI Meta akan mula dijual di Malaysia pada 20 Oktober 2026 — Ray-Ban Meta (Gen 3), Ray-Ban Meta Optics (Gen 2), Oakley Meta HSTN dan Oakley Meta Vanguard — dengan harga bermula RM2,069. Ini merupakan kemasukan rasmi pertama ekosistem kaca mata AI Meta ke pasaran tempatan, hasil kerjasama Meta dengan EssilorLuxottica.
Harga jualan di Malaysia bermula RM2,069 untuk Oakley Meta HSTN, RM2,119 untuk Ray-Ban Meta (Gen 3), RM2,209 untuk Ray-Ban Meta Optics (Gen 2), dan RM2,589 untuk Oakley Meta Vanguard. Kesemua model akan ditawarkan di kedai rasmi Ray-Ban dan Oakley, serta rangkaian runcit EssilorLuxottica terpilih termasuk Sunglass Hut, A-Look, SEEN dan peruncit optik yang mengambil bahagian di seluruh negara.

Ray-Ban Meta (Gen 3) ialah model terbaharu yang diumumkan di Meta Connect 2026. Ia tampil dengan rekaan lebih nipis dan selesa, jangka hayat bateri sehingga 9 jam, butang aksi boleh ubah suai untuk akses pantas kepada Meta AI, kamera 12MP yang mampu merakam video 3K, serta enam mikrofon dengan pengurangan hingar angin. Tiga gaya bingkai ditawarkan — Wayfarer, Aviator dan Zena.
Ray-Ban Meta Optics (Gen 2) pula direka khusus sebagai kaca mata preskripsi, manakala dua model Oakley mensasarkan pengguna aktif. Oakley Meta HSTN menawarkan bateri sehingga 8 jam, kalis percikan IPX4 dan menyokong kanta preskripsi dari -6.00 hingga +4.00. Oakley Meta Vanguard yang lebih lasak hadir dengan penarafan IP67, medan pandangan 122 darjah dan integrasi aplikasi kecergasan seperti Strava dan Garmin.
Kesemua kaca mata ini dilengkapi pembesar suara telinga terbuka, dan boleh diarah melalui arahan suara “Hey Meta” untuk mengambil gambar, merakam video, membuat panggilan, menterjemah bahasa dan berinteraksi dengan Meta AI tanpa menyentuh telefon. Meta turut mengesahkan ejen AI peribadinya, Muse, akan dibawa ke kaca mata AI dalam beberapa bulan akan datang.
Sempena pelancaran ini, Ray-Ban akan mengadakan pop-up khusus di The Starhill Piazza, Kuala Lumpur dari 21 Oktober hingga 1 November 2026, dibuka setiap hari dari 10 pagi hingga 10 malam. Pengunjung boleh mencuba sendiri kaca mata AI tersebut dan mendapatkan ukiran khas pada bekas Ray-Ban Meta mereka. Oakley pula akan mempamerkan kaca mata AI mereka di Grand Prix Malaysia PETRONAS 2026 (MotoGP) di Litar Antarabangsa Sepang dari 30 Oktober hingga 1 November.
Baca juga
Nothing Dilaporkan Bangunkan Dua Kaca Mata Pintar — Satu Dengan Kamera dan Integrasi ChatGPT
Cara Guna Muse: Tutorial Lengkap Ejen AI Peribadi Meta
Sumber: Meta Newsroom