Nothing Dilaporkan Bangunkan Dua Kaca Mata Pintar — Satu Dengan Kamera dan Integrasi ChatGPT

Nothing dilaporkan sedang membangunkan dua model kaca mata pintar — satu versi audio sahaja dan satu lagi dengan kamera serta integrasi ChatGPT. Maklumat itu didedahkan pembocor terkenal Roland Quandt dari WinFuture menerusi hantaran di Bluesky.
Model pertama ialah kaca mata audio yang berfungsi seperti pemain audio terbina dalam bingkai — untuk muzik, panggilan telefon dan interaksi dengan pembantu suara pada telefon yang disambung. Model kedua merangkumi semua ciri model audio, ditambah kamera, integrasi ChatGPT dan sokongan terjemahan masa nyata. ChatGPT membolehkan pemakai bertanya soalan melalui suara, mengenali objek di sekeliling dan menterjemah perbualan secara langsung — mirip integrasi ChatGPT Voice yang sedia ada pada fon telinga Nothing.
Kedua-dua model dilaporkan menggunakan kanta fotokromik yang menjadi gelap secara automatik di bawah cahaya matahari dan kembali jernih di dalam bangunan, jadi pengguna tidak perlu membawa cermin mata hitam berasingan.
Butiran lain masih terhad. Laporan Bloomberg pada April 2026 menyebut kaca mata Nothing tidak akan mempunyai paparan AR — pemprosesan AI bergantung pada telefon yang disambung dan awan. Model audio dilaporkan akan tiba tidak lama lagi, manakala versi kamera disasarkan sekitar separuh pertama 2027. Harga, hayat bateri dan rekaan rasmi belum didedahkan.
Strategi dua model ini mirip pendekatan Meta yang baru melancarkan cermin mata audio tanpa kamera — versi audio sebagai pilihan lebih mampu milik dan mesra privasi, versi kamera sebagai pesaing terus kepada Ray-Ban Meta. Di Malaysia, empat cermin mata pintar AI Meta mula dijual 20 Oktober bermula RM2,069.

Buat masa ini Nothing belum mengesahkan sebarang perincian — semua maklumat di atas berdasarkan dakwaan pembocor dan perlu diambil dengan berhati-hati sehingga pengumuman rasmi.
Sumber: Beebom