Meta Dilaporkan Bangunkan Robot Humanoid ‘Max’ Bersama Fourier, Prototaip Kedua Sudah Dibina

Meta Dilaporkan Bangunkan Robot Humanoid ‘Max’ Bersama Fourier, Prototaip Kedua Sudah Dibina

Meta dilaporkan telah membangunkan sebuah prototaip robot humanoid bersama syarikat robotik dari China, Fourier — dengan prototaip kedua sudah pun dalam pembangunan. Menurut laporan The Information pada 31 Oktober yang dipetik Reuters, robot berkenaan dikenali dengan nama dalaman “Max” dan disiapkan dalam masa kira-kira tiga bulan.

Max dilaporkan setinggi kira-kira 1.5 meter dan seberat kira-kira 48 kilogram. Ia dikuasakan cip NVIDIA Jetson Thor dan model kecerdasan buatan (AI) yang dibangunkan Meta, dengan tangan lima jari yang direka untuk mengambil objek kecil seperti botol dan mainan. Robot itu turut dilengkapi paparan yang boleh memaparkan ekspresi wajah serta pembesar suara terbina dalam, dan dilaporkan mampu mengenali suara dari jarak kira-kira lima meter serta mentafsir isyarat tangan dari jarak kira-kira tiga meter.

Menurut laporan itu, naib presiden produk robotik Meta, Li-Chen Miller, menghabiskan hampir dua bulan di kilang Fourier di Shanghai untuk menjayakan prototaip berkenaan, sebelum Max diperlihatkan kepada sebahagian kakitangan Meta pada satu sidang robotik dalaman pada akhir Ogos.

GR-3 bermain catur dengan pengunjung di CES 2026. (Foto: Fourier)

Pembangunan prototaip kedua, Max 2, pula dilaporkan bermula pada September. Ia dijangka menerima torso yang direka semula, tangan yang lebih baik, projektor serta sensor tambahan bagi membantunya mengendalikan tangga dengan lebih baik.

Bagaimanapun, Meta menegaskan kerjasama dengan Fourier itu tertumpu kepada penyelidikan dan eksperimen dalaman, dan syarikat itu tiada rancangan untuk menjual prototaip berkenaan. Tiada tarikh pelancaran untuk sebarang produk pengguna diumumkan, dan rekaan Max masih belum diperlihatkan kepada umum. Reuters turut menyatakan ia tidak dapat mengesahkan laporan itu secara bebas.

Usaha robotik Meta bermula secara serius pada awal 2025 dengan penubuhan pasukan robotik dalam Reality Labs, sebelum syarikat itu mengambil alih syarikat permulaan AI robotik, Assured Robot Intelligence, pada Mei 2026. Ketua Pegawai Teknologi Meta, Andrew Bosworth, dilaporkan menggambarkan robot humanoid sebagai bentuk fizikal kepada ejen AI peribadi syarikat itu, Muse — ejen yang kini ditawarkan di Singapura tetapi masih belum di Malaysia.

Nota: Gambar utama artikel ini memaparkan GR-3, robot humanoid keluaran Fourier — bukan Max, yang rekaannya belum didedahkan kepada umum.

Sumber: Reuters

Baca seterusnya