Data Pelanggan Malaysia Airlines Mungkin Terjejas Dalam Insiden Siber Amadeus

Malaysia Airlines memaklumkan pelanggannya bahawa satu insiden keselamatan siber membabitkan Amadeus, penyedia teknologi tempahan penerbangan pihak ketiga, mungkin menjejaskan maklumat pelanggan tertentu yang diproses melalui sistem berkenaan antara Ogos 2023 hingga September 2026.
Dalam kenyataan yang diterbitkan pada 31 Oktober 2026, syarikat penerbangan itu menegaskan sistem IT miliknya sendiri tidak diceroboh, dan buat masa ini tiada bukti maklumat kewangan pelanggan diakses.
Malaysia Airlines turut memaklumkan ia sedang bekerjasama rapat dengan Amadeus dan pihak berkaitan untuk menyiasat insiden tersebut serta menilai impaknya, dan akan memberikan kemas kini lanjut apabila maklumat baharu tersedia.
Sebagai langkah berjaga-jaga, pelanggan dinasihatkan supaya berwaspada terhadap sebarang komunikasi yang mencurigakan atau tidak diminta, khususnya yang meminta maklumat peribadi atau kewangan.

Buat masa ini, kenyataan tersebut tidak menyatakan jumlah pelanggan yang mungkin terjejas, mahupun jenis maklumat peribadi yang terlibat. Malaysia Airlines juga tidak mendedahkan bila dan bagaimana insiden itu dikesan.
Insiden ini bukan terpencil kepada Malaysia Airlines. Amadeus merupakan antara penyedia teknologi tempahan dan pengedaran terbesar dunia untuk syarikat penerbangan dan agensi pelancongan, dan insiden sama turut menjejaskan beberapa syarikat penerbangan Asia lain dalam beberapa hari kebelakangan ini — termasuk Cathay Pacific dengan kira-kira 53,000 tempahan terjejas, dan Japan Airlines dengan kira-kira 92,000 pelanggan.
Amadeus memaklumkan ia telah mengambil langkah pembendungan, termasuk penetapan semula kata laluan serta pemantauan dan pengesanan yang dipertingkat pada sistemnya, dan setakat ini tiada bukti data yang terjejas telah disalah guna.
Pelanggan yang pernah membuat tempahan Malaysia Airlines dalam tempoh Ogos 2023 hingga September 2026 dinasihatkan supaya peka terhadap e-mel, mesej atau panggilan yang menyamar sebagai pihak syarikat penerbangan, dan tidak berkongsi maklumat peribadi atau kewangan melalui pautan yang tidak disahkan.
Sumber: Malaysia Airlines