Crunchyroll Kini Boleh Dilanggan Terus Menerusi PS5 Dan PS4 Di Malaysia — Mega Fan RM14.90 Sebulan

Crunchyroll Kini Boleh Dilanggan Terus Menerusi PS5 Dan PS4 Di Malaysia — Mega Fan RM14.90 Sebulan

Pengguna PlayStation 5 (PS5) dan PlayStation 4 (PS4) di Malaysia kini boleh melanggan Crunchyroll terus dari konsol mereka. Perkhidmatan penstriman anime itu kini tersedia menerusi Media Hub PlayStation di Malaysia, Indonesia dan Thailand, dan langganan boleh dibuat terus tanpa perlu mendaftar melalui pelayar web atau telefon.

Menerusi PlayStation, pelan Mega Fan ditawarkan pada harga RM14.90 sebulan. Pelan itu merangkumi tontonan tanpa iklan, muat turun luar talian pada peranti yang disokong, penstriman serentak pada sehingga empat peranti, serta akses kepada Crunchyroll Game Vault — koleksi lebih 100 permainan mudah alih berinspirasikan anime yang termasuk dalam keahlian tersebut. Buat masa ini, hanya pelan Mega Fan ditawarkan menerusi PlayStation.

Logo Crunchyroll. (Foto: Crunchyroll)

Crunchyroll menawarkan ratusan judul anime, termasuk Black Clover Musim 2 dan Overgeared. Langganan yang dibuat menerusi konsol akan dipautkan kepada akaun Crunchyroll pengguna, jadi kandungan yang sama boleh diakses pada peranti lain yang disokong.

Untuk melanggan, pengguna perlu memuat turun aplikasi Crunchyroll dari PlayStation Store, membukanya, dan memilih pelan Mega Fan atau memulakan percubaan percuma. Sony akan berkongsi maklumat akaun bagi menyediakan langganan tersebut, dan akaun Crunchyroll baharu akan dicipta secara automatik sekiranya pengguna belum memilikinya. Pembayaran dibuat menerusi PlayStation Wallet, dan pengguna boleh kembali ke aplikasi untuk mula menonton sebagai ahli Mega Fan.

Sumber: PlayStation.Blog

Baca seterusnya