Xiaomi Watch 5 Kini Di Malaysia: Wear OS 6, Snapdragon W5 & Bateri 6 Hari

Xiaomi Watch 5 Kini Di Malaysia: Wear OS 6, Snapdragon W5 & Bateri 6 Hari

Xiaomi Watch 5 kini rasmi di Malaysia dan dijual pada harga RM1,199, menjadikannya jam pintar mercu terbaru Xiaomi untuk pasaran tempatan. Ia hadir dengan rangka keluli tahan karat, perlindungan kaca nilam di depan dan belakang, serta dua pilihan warna elegan: Black dan Juniper Green.

Skrin AMOLED 1.54″ 1500 nits

Jam ini menampilkan skrin AMOLED 1.54 inci dengan resolusi 480 × 480 piksel (312 PPI), bezel yang sangat nipis dan kadar segar semula 60Hz. Kecerahan puncak mencecah 1,500 nits, jadi paparan masih jelas di bawah cahaya matahari terik. Permukaan skrin dilindungi sapphire glass untuk ketahanan calar yang jauh lebih baik berbanding kaca biasa. Kerangka jam berdiameter 47mm, tebal sekitar 12.3mm dan berat kira‑kira 56g tanpa tali, dengan tali bersaiz 135–205mm.

Xiaomi Watch 5 Kini Di Malaysia: Wear OS 6, Snapdragon W5 & Bateri 6 HariCip Snapdragon W5 Gen 1 & Bateri 930mAh

Di bahagian dalam, Xiaomi Watch 5 menggunakan seni bina dwi‑cip: Qualcomm Snapdragon W5 Gen 1 dipadankan dengan co‑processor BES2800 berkuasa rendah. Gabungan ini membolehkan jam bertukar antara cip utama dan cip penjimatan tenaga bagi mengimbangi prestasi dan hayat bateri. Bateri 930mAh dengan Xiaomi Surge Battery (10% silikon‑karbon) menjadikannya bateri terbesar pernah digunakan dalam jam pintar Xiaomi.

Xiaomi mendakwa Watch 5 mampu bertahan sehingga:

  • 6 hari dalam Smart Mode

  • 4 hari dalam AOD Smart Mode

  • 18 hari dalam Power Saving Mode

Pengecasan dilakukan melalui tapak magnetik yang disertakan dalam kotak.

Xiaomi Watch 5 Kini Di Malaysia: Wear OS 6, Snapdragon W5 & Bateri 6 HariWear OS 6, Gemini & HyperConnect

Menariknya, Xiaomi Watch 5 adalah jam pertama Xiaomi yang datang dengan Wear OS 6 dan sokongan Google Gemini terus di pergelangan tangan, membolehkan pengguna bercakap dengan Gemini untuk menjawab soalan, merancang jadual atau mendapatkan bantuan AI lain tanpa perlu buka telefon. Melalui Xiaomi HyperConnect, jam ini juga boleh mengawal peranti lain dalam ekosistem Xiaomi, seperti kamera dan lampu pintar. Ia menyokong GPS dwi‑jalur (dual‑band GNSS), Wi‑Fi, Bluetooth 5.4 dan NFC (bergantung pasaran), serta ketahanan air 5ATM, mengikut syarat penggunaan pengeluar.

Jam ini dipadankan dengan memori 2GB RAM dan storan 32GB, cukup untuk aplikasi, muka jam dan fail muzik luar talian.

Xiaomi Watch 5 Kini Di Malaysia: Wear OS 6, Snapdragon W5 & Bateri 6 HariSensor Kesihatan, EMG & Kawalan Gestur

Untuk kesihatan dan kecergasan, Xiaomi Watch 5 hadir dengan senarai sensor yang sangat menyeluruh: PPG untuk nadi, SpO2, ECG, EMG, accelerometer, giroskop, kompas/geomagnetik, barometer dan sensor cahaya ambien. Xiaomi mendakwa ia adalah jam pintar pertama di dunia yang mempunyai sensor EMG, membolehkan ia mengesan aktiviti otot dan membolehkan kawalan melalui gerak isyarat.

EMG ini juga digunakan untuk ciri precision gesture control:

  • Gestur lalai seperti “Pinch Twice” dan “Rub Twice”

  • Tiga gestur boleh ubah: Snap Fingers, Shake Wrist, Rotate Wrist

Gestur ini boleh digunakan untuk menjawab atau menolak panggilan, senyapkan alarm, mula senaman, kawal kamera telefon dari jauh, atau membuka aplikasi tertentu — tanpa menyentuh skrin.

Selain itu, Xiaomi Watch 5 menyokong ciri seperti One‑tap health check, pemantauan tidur mendalam, advanced training insights untuk sukan, serta ratusan mod senaman yang memanfaatkan GNSS dwi‑jalur untuk jejak larian dan aktiviti luar yang lebih tepat.

Sumber: Xiaomi MY

Baca seterusnya