WartaAI Sedang Berubah
WartaAI sedang berubah. Fokusnya beralih daripada penjana kandungan teks kepada penerbitan berita teknologi, ulasan dan perkongsian pendapat.
Bagi saya, alat untuk menjana teks semakin mudah diperoleh. Itu membuatkan saya menilai semula perkara yang mahu saya bina: sebuah laman yang orang kunjungi kerana kandungannya, bukan hanya kerana fungsi AI.
Kembali kepada penulisan
Pengalaman lebih tujuh tahun bersama Amanz dan lebih 11,000 artikel yang pernah ditulis menjadi asas kepada keputusan ini. Minat saya masih pada menulis, mengikuti industri dan berkongsi maklumat dengan pembaca.
Selepas tempoh kurang aktif, saya mahu memberi lebih perhatian kepada berita teknologi dan perniagaan, laporan asal, ulasan serta pandang pertama.
AI sebagai alat sokongan
AI masih digunakan untuk membantu penyelidikan, menyusun maklumat dan menyemak draf. Keputusan tentang fakta, sudut cerita dan ayat yang diterbitkan tetap perlu dibuat oleh penulis.
Siaran media juga perlu dibaca dengan teliti. Dakwaan syarikat perlu dikenal pasti sebagai dakwaan, dan bahasa promosi tidak patut terus dipindahkan ke artikel.
Apa yang saya mahu daripada WartaAI
Saya mahu pembaca mendapat maklumat yang jelas dan berguna. Kepercayaan itu bergantung pada mutu setiap artikel, kesediaan membetulkan kesilapan dan ketelusan tentang cara kandungan disediakan.
Perubahan ini mengembalikan penulisan sebagai tumpuan WartaAI. Perkembangan produk dan cara AI digunakan akan terus dikongsi apabila ada perkara yang relevan untuk pembaca.