Swap Protect 360 Tawar Jaminan Beli Balik Sehingga 55% Untuk iPhone 18 Pro Di Malaysia

Swap Device Solutions memperkenalkan Protect 360 di Malaysia, pelan perlindungan dua tahun di bawah barisan Swap Protect yang menggabungkan perlindungan peranti dengan nilai beli balik tunai yang terjamin. Buat masa ini, pelan ini ditawarkan khusus untuk pembeli iPhone 18 Pro dan iPhone 18 Pro Max.
Tarikan utama Protect 360 ialah fleksibiliti penuh ketika tempoh pelan tamat. Tidak seperti program trade-in biasa yang mengikat nilai tawaran kepada pembelian telefon baharu daripada penjual yang sama, Protect 360 memberikan nilai beli balik yang telah ditetapkan tanpa memaksa pemilik membeli telefon gantian. Pemilik boleh menaik taraf ke mana-mana peranti atau sekadar mengambil bayaran tunai dan beredar.
Nilai beli balik itu dikira berdasarkan harga runcit asal (RRP) peranti, mengikut tempoh dari tarikh pendaftaran ke dalam pelan — bukan tarikh pembelian telefon: Bulan ke-13 hingga ke-15: 55% daripada harga asal; Bulan ke-16 hingga ke-18: 50% daripada harga asal; Bulan ke-19 hingga ke-21: 45% daripada harga asal; Bulan ke-22 hingga ke-24: 40% daripada harga asal.

Sebagai contoh, iPhone 18 Pro yang berharga RM5,499 akan menerima RM3,024.45 pada tetingkap 55%, RM2,749.50 pada 50%, RM2,474.55 pada 45% dan RM2,199.60 pada 40%. Bagi iPhone 18 Pro Max 512GB yang berharga RM6,999, pulangannya ialah RM3,849.45, RM3,499.50, RM3,149.55 dan RM2,799.60 mengikut turutan tetingkap yang sama.
Dari segi perlindungan, Protect 360 yang ditaja jamin oleh The Pacific Insurance Bhd meliputi pembaikan akibat jatuh tidak sengaja, skrin retak dan kerosakan cecair, selain waranti lanjutan melebihi waranti standard satu tahun Apple. Pelan ini turut merangkumi perlindungan kecurian attended, iaitu ketika telefon dicuri semasa berada dalam jagaan langsung pemiliknya.
Protect 360 berharga RM1,099 untuk tempoh penuh dua tahun, dengan kemudahan ansuran 24 bulan tanpa faedah pada RM45.79 sebulan. Pemegang kad CIMB boleh mendapatkan diskaun 30% dengan kod promo cimbdevicecare di kaunter bayaran, menjadikan jumlahnya RM769.30 atau kira-kira RM32.05 sebulan sepanjang 24 bulan.
Pendaftaran mesti dibuat dalam tempoh 30 hari dari tarikh pembelian telefon yang layak, dan pendaftaran kekal dibuka sehingga 1 April 2027. Maklumat lanjut dan pendaftaran tersedia melalui laman web rasmi Swap Protect.
Sumber: Swap Protect