Cip “Gainsborough” Untuk Steam Deck 2 Dilaporkan Tertiris — 6 Teras Zen 6, RAM 24GB

Cip “Gainsborough” Untuk Steam Deck 2 Dilaporkan Tertiris — 6 Teras Zen 6, RAM 24GB

Butiran cip AMD berkod nama “Gainsborough” — yang didakwa sebagai calon cip untuk konsol mudah alih generasi seterusnya Valve, Steam Deck 2 — dilaporkan tertiris menerusi satu senarai keputusan penanda aras yang dimuat naik ke OpenBenchmarking.

Sampel kejuruteraan tersebut (dikenali sebagai OPN 100-000001930-12_Y) disenaraikan dengan CPU 6 teras / 12 bebenang pada kelajuan asas 2.4GHz, dipadankan dengan memori 24GB LPDDR5 berkelajuan 9600MT/s. GPU bersepadu dilaporkan berjalan pada 2,400MHz, manakala semakan mikrokodnya mencadangkan penggunaan seni bina CPU Zen 6.

Dalam ujian GpuTest pada resolusi 1024×768, sampel ini mencatatkan 3,508 mata bagi FurMark, 3,871 (GiMark) dan 9,319 (TessMark). Sebagai perbandingan, Steam Deck OLED mencatatkan 3,323 mata dalam ujian FurMark yang sama — namun pada resolusi 1280×800 yang lebih tinggi — justeru kedua-dua skor tidak boleh dibandingkan secara terus, lebih-lebih lagi dengan sampel ini masih di peringkat ujian awal.

Seseorang bermain Steam Deck di atas hammock
Imej gaya hidup Steam Deck. Butiran cip ‘Gainsborough’ yang tertiris masih belum disahkan oleh AMD atau Valve. Kredit: Valve

Kaitan “Gainsborough” dengan Steam Deck 2 berpunca daripada tradisi kod nama Valve: cip Steam Deck asal menggunakan nama watak Final Fantasy VII — “Aerith” dan “Sephiroth” — manakala “Gainsborough” ialah nama keluarga Aerith dalam permainan tersebut. Bagaimanapun, pakej cip FF6 yang sama turut dikaitkan dengan cip peranti mudah alih Ryzen Z3 AMD, jadi identiti sebenar sampel ini masih belum dapat dipastikan.

Pereka Valve, Pierre-Loup Griffais, dalam satu temu bual September lalu menyatakan pasukan masih menilai masa dan bentuk yang sesuai untuk peranti generasi seterusnya — dengan sasaran lonjakan prestasi yang dapat dirasai pengguna, bukan sekadar peningkatan kecil — sambil mengimbangi harga, prestasi dan hayat bateri. Jurutera Valve, Jeff Lin, turut mengesahkan ketidaktentuan bekalan memori tidak menjejaskan perancangan syarikat. Setakat ini, AMD dan Valve masih belum mengesahkan kewujudan cip “Gainsborough”.

Platform Zen 6 dan RDNA 5 AMD hanya dijangka diperkenalkan sekitar pertengahan 2027, justeru sebarang pengumuman rasmi mengenai Steam Deck 2 — sekiranya cip ini benar-benar dibangunkan untuknya — dijangka tidak berlaku sebelum tempoh tersebut.

Sumber: Notebookcheck

Baca seterusnya