Spotify Family Ketatkan Pengesahan Alamat — Ahli Perlu Imbas Kod QR Secara Fizikal

Spotify Family Ketatkan Pengesahan Alamat — Ahli Perlu Imbas Kod QR Secara Fizikal

Spotify sedang menguatkuasakan semula peraturan serumah untuk pelan Premium Family — semua ahli pelan kini diminta membuktikan mereka tinggal serumah dengan pengurus pelan menerusi imbasan kod QR dinamik yang perlu dilakukan secara fizikal, bersama pengurus, dalam tempoh 7 hari. Gagal berbuat demikian akan menyaksikan akaun diturunkan ke pelan percuma, selain larangan 12 bulan menyertai sebarang pelan Family atau Duo lain.

Menurut dokumentasi rasmi Spotify, kod QR dibuka pada telefon pengurus pelan (menerusi gambar profil > Your Premium > Manage), kemudian diimbas dengan kamera telefon ahli. Kedua-dua pihak mesti berada di lokasi yang sama dan proses ini hanya boleh dilakukan menerusi aplikasi mudah alih. Kod berkenaan berubah setiap beberapa saat — Spotify sendiri menegaskan ia mesti diimbas secara fizikal, sekaligus menyukarkan cubaan memintasnya menggunakan tangkapan skrin.

Antara muka aplikasi Spotify — syarikat menyatakan ia tidak menjejaki lokasi pengguna, hanya alamat yang disemak untuk pengesahan. Kredit: Spotify.
Antara muka aplikasi Spotify — syarikat menyatakan ia tidak menjejaki lokasi pengguna, hanya alamat yang disemak untuk pengesahan. Kredit: Spotify.

Spotify turut menyatakan ia tidak menjejaki lokasi pengguna: “We don’t track your location. We only check your address to verify.” Pengesahan alamat boleh dicetuskan ketika seseorang menyertai pelan, apabila pengurus menukar alamat, atau apabila Spotify tidak dapat mengesahkan alamat sedia ada. Syarat tinggal serumah ini sebenarnya sudah lama termaktub dalam terma pelan Family — apa yang berubah ialah penguatkuasaan, dengan pengguna di Reddit dan pelbagai media melaporkan gesaan pengesahan tiba-tiba sejak hujung minggu lalu. Setakat ini Spotify tidak mengeluarkan sebarang pengumuman rasmi mengenai gelombang penguatkuasaan ini.

Bagi pengguna di Malaysia, perkembangan ini memberi kesan langsung kepada amalan berkongsi pelan Family bersama rakan atau rakan serumah untuk menjimatkan kos langganan. Mereka yang tidak dapat melengkapkan pengesahan dalam tempoh 7 hari perlu memilih pelan lain di spotify.com/premium — langkah ini mengikut jejak Netflix dan Disney+ yang turut memperketatkan peraturan isi rumah bagi akaun kongsi.

Sumber: Spotify

Baca seterusnya