Pelajar Perak Menang Samsung Solve for Tomorrow 2026 Dengan Set Kepala Pintar TheVisionSense

Pelajar Perak Menang Samsung Solve for Tomorrow 2026 Dengan Set Kepala Pintar TheVisionSense

Samsung Malaysia Electronics menobatkan Team InnovateZ dari MRSM Bagan Datuk, Perak sebagai juara keseluruhan Samsung Solve for Tomorrow 2026. Kemenangan itu diraih menerusi TheVisionSense, sebuah set kepala pintar yang direka untuk membantu individu yang baru kehilangan penglihatan mengemudi persekitaran mereka dengan lebih selamat dan berdikari.

TheVisionSense menggunakan sensor LiDAR dan ultrabunyi untuk mengesan halangan di sekeliling pemakai, sebelum menukarkan data ruang tersebut kepada amaran audio masa nyata. Gabungan itu memberi kesedaran situasi kepada pengguna tanpa memerlukan input visual, sekali gus mengurangkan risiko keselamatan ketika bergerak di tempat yang tidak dikenali.

Sebagai juara, Team InnovateZ menerima produk Samsung bernilai sehingga RM47,000. Pasukan itu menewaskan empat lagi pasukan finalis di Grand Finale, selepas melalui proses penilaian yang bermula dengan 10 pasukan terbaik ke peringkat separuh akhir, di mana mereka memperhalusi idea, membina prototaip dan menyertai Bengkel Design Thinking.

Prototaip TheVisionSense bersama bahan pameran pasukan InnovateZ di Grand Finale Solve for Tomorrow 2026. Foto: Samsung Malaysia

Mengulas kemenangan itu, Team InnovateZ berkata mereka gembira dapat meraih tempat pertama selepas mengharungi pelbagai cabaran sepanjang pertandingan. Pasukan itu menjelaskan, penyelesaian untuk golongan kurang upaya penglihatan jarang diketengahkan, dan itulah yang mendorong mereka mencipta set kepala berkenaan — dengan harapan generasi akan datang tampil dengan idea yang lebih hebat dan mengharumkan nama Malaysia melalui teknologi dan inovasi.

Tempat kedua dimenangi Team iSafePath menerusi iSafePath 2.0, sebuah platform keselamatan jalan raya adaptif yang menggunakan pengesanan masa nyata dan amaran dua hala untuk membantu pejalan kaki dan pemandu di lintasan berisiko tinggi, dengan hadiah produk Samsung bernilai sehingga RM30,000. Tempat ketiga menjadi milik Team Replast untuk Replast, penyelesaian mesra alam yang menukar sisa plastik kitar semula kepada bata binaan tahan lasak dan kalis air, bernilai sehingga RM19,000. Team EcoTerraNitro meraih tempat keempat (sehingga RM10,000), manakala Team Primates di tempat kelima (sehingga RM8,000).

Solve for Tomorrow 2026 dianjurkan Samsung Malaysia dengan kerjasama Universiti Malaya, dan terbuka kepada pelajar berusia 13 hingga 15 tahun. Edisi tahun ini menarik 106 penyertaan daripada 424 pelajar di seluruh negara, merentasi empat tema iaitu Kelestarian Alam Sekitar, Sukan dan Teknologi, Kesihatan, dan Pendidikan.

Agnes Wong, Ketua Pemasaran Korporat Samsung Malaysia Electronics, berkata inovasi bermula dengan keyakinan untuk bertanya, mencabar andaian dan bertindak, dan Samsung amat berbangga dengan pencapaian inovator muda berkenaan. Sementara itu, Profesor Madya Ir. Dr. Mas Sahidayana Mohktar, Pengarah Pusat STEM Universiti Malaya, berkata kualiti idea tahun ini mencerminkan bakat, kreativiti dan keazaman pelajar Malaysia, selain memberi mereka pengalaman praktikal mengaplikasikan ilmu STEM untuk menyelesaikan masalah sebenar.

Sumber: Samsung Newsroom Malaysia

Baca seterusnya