Redmi K100 Disahkan Dengan Bateri 10,000mAh — Terbesar Pernah Pada Telefon Xiaomi

Redmi K100 Disahkan Dengan Bateri 10,000mAh — Terbesar Pernah Pada Telefon Xiaomi

Redmi mengesahkan telefon pintar K100 akan dilancarkan secara rasmi di China pada 27 Oktober 2026, lengkap dengan bateri berkapasiti 10,000mAh — yang terbesar pernah digunakan pada mana-mana telefon Xiaomi setakat ini.

Menerusi poster acah rasmi, Redmi mendedahkan bateri silikon-karbon “Jinshajiang” dengan kandungan silikon-karbon 28% dan ketumpatan tenaga 957Wh/L. Bateri ini didakwa tahan sehingga 1,600 kitaran pengecasan serta mengekalkan prestasi stabil pada suhu serendah -20°C.

Presiden Xiaomi, Lu Weibing, turut berkongsi angka ketahanan rasmi: melebihi 29 jam tontonan video pendek, lebih 24 jam penstriman langsung, 47 jam main balik muzik, 18 jam navigasi, 46 jam bacaan dan sehingga 1,000 episod drama pendek. Dari segi pengecasan, K100 menyokong pengecasan berwayar 100W, pengecasan songsang berwayar 27W dan pengecasan pintasan (bypass charging) yang mengurangkan haba ketika bermain permainan.

Poster acah kombinasi pengecasan 100W Redmi K100
Kombinasi pengecasan K100: 100W berwayar, 27W songsang dan pengecasan pintasan. Kredit: Redmi

Spesifikasi lain yang disahkan termasuk cip Snapdragon 8 Elite yang digandingkan dengan cip paparan D2, skrin AMOLED 6.83-inci dengan kadar segar semula 165Hz dan kecerahan puncak 3,500 nits, serta HyperOS 4 berasaskan Android 17. Menurut Redmi, lebih 40 permainan menyokong 165fps secara natif manakala lebih 100 judul menyokong interpolasi bingkai.

Dari segi rekaan, K100 tampil dengan bingkai logam, kamera swafoto lubang-jarum di tengah, modul kamera melintang dan sistem audio ditala Bose (“Sound by Bose”), dalam warna baharu Firefly Green. Redmi turut mengesahkan fon telinga nirwayar Clip Neo akan diperkenalkan seiring, dan pra-tempahan di China sudah pun dibuka.

Buat masa ini, Redmi masih belum mengumumkan sebarang perancangan untuk pasaran antarabangsa. Namun berdasarkan tradisi siri K — di mana K100 Pro dan K100 Pro Max dilaporkan tiba di pasaran global sebagai POCO F9 Pro dan POCO F9 Ultra — tidak mustahil K100 menyusul di bawah jenama POCO untuk pasaran seperti Malaysia.

Sumber: Redmi

Baca seterusnya