OPPO Find N6 Hadir Bersama OPPO AI Pen Dengan Integrasi Gemini

OPPO mengumumkan kerjasama yang lebih mendalam bersama Google Cloud untuk membawakan fungsi kecerdasan buatan (AI) yang lebih mantap pada peranti skrin lipat mercu mereka, OPPO Find N6. Menerusi integrasi ini, OPPO memperkenalkan OPPO AI Pen — sebuah stilus untuk produktiviti pintar.
Berbeza dengan stilus tradisional yang hanya terhad untuk menulis dan melukis, OPPO AI Pen dilengkapi dengan butang fizikal khas di bahagian sisi untuk mengaktifkan dua fungsi utama yang dikuasakan oleh model AI Google:
AI Chart (Dikuasakan Gemini 2.5 Pro): Nota dan catatan kini boleh dibulatan dengan AI Pen untuk diubah menjadi carta.
AI Image (Dikuasakan Nano Banana / Gemini 2.5 Flash Image): AI Pen boleh mengubah lakaran ringkas atau doodle menjadi karya seni. Menariknya, pengguna juga boleh memasukkan teks arahan (prompt) untuk menetapkan gaya seni yang dimahukan—sama ada lukisan minyak klasik mahupun seni digital moden.

Ini satu perkara yang pada hemat saya sangat menarik. Selain daripada fungsi stilus berkuasa AI, OPPO turut bekerjasama dengan Google untuk mengintegrasikan sokongan Android Quick Share yang serasi dengan peranti Apple pada Find N6.
Dalam masa beberapa minggu lagi, pengguna Find N6 dilaporkan bakal boleh menghantar gambar, video, dan fail terus ke peranti Apple tanpa memerlukan sebarang aplikasi pihak ketiga yang menyusahkan. Langkah ini pastinya memudahkan perkongsian fail merentas ekosistem yang berbeza.
Sistem operasi ColorOS 16 pada OPPO Find N6 nampaknya dibina dengan fokus yang sangat jelas: memaksimumkan penggunaan skrin lipat yang besar menjadi sebuah stesen kerja mudah alih (mobile workstation).
Cuma, apa yang menjadi persoalan sekarang adalah sejauh mana penanda aras (benchmark) prestasi sebenar peranti ini apabila dilancarkan kelak, dan adakah ciri AI Image tersebut benar-benar lancar atau sekadar gimik pemasaran. Sama-sama kita nantikan pelancaran rasminya untuk melihat harga jualan dan ketersediaannya di pasaran Malaysia.
Jadi, adakah ciri stilus pintar Google AI ini membuatkan anda tertarik untuk bertukar ke peranti skrin lipat?