MOF Nafi Caj Perkhidmatan QR Bermula 1 November — Poster Tular Disahkan Palsu

Kementerian Kewangan (MOF) menafikan dakwaan poster tular yang mendakwa transaksi kod QR akan mula dikenakan caj perkhidmatan pada 1 November 2026. Kementerian mengesahkan maklumat dalam poster itu adalah palsu.
“Tiada pengumuman rasmi dikeluarkan mengenai pelaksanaan caj perkhidmatan QR seperti yang didakwa dalam poster berkenaan,” menurut MOF menerusi hantaran di Facebook hari ini. Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mempercayai atau menyebarkan maklumat tidak sahih itu bagi mengelakkan kekeliruan.

Poster palsu yang tular itu menggunakan gambar Perdana Menteri sebagai visual utama bersama tajuk “Berita utama hari ini, QR mulakan caj perkhidmatan 1 November ini”. MOF turut memuat naik semula poster berkenaan dengan cop “TIDAK BENAR” sebagai penafian rasmi.
Kementerian turut menggesa orang ramai merujuk saluran rasmi MOF untuk mendapatkan maklumat yang tepat sebelum berkongsi sebarang berita. Penafian ini dibuat ketika majoriti rakyat Malaysia semakin bergantung pada pembayaran tanpa tunai melalui kod QR.
Sumber: Kementerian Kewangan