Main 6 Permainan Mini Raya Dalam ILMUchat ‘Balik Kampung Kit’ — Dibina Sepenuhnya Dengan IlmuChat

Menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini, YTL AI Labs telah melancarkan ILMUchat Balik Kampung Kit — satu koleksi permainan mini dan alatan digital yang direka khas untuk menemani rakyat Malaysia sepanjang musim perayaan. Keseluruhan kit ini dibangunkan sepenuhnya menggunakan ILMUchat, model AI tempatan yang dilatih khusus dengan bahasa dan budaya Malaysia.
AI “Lokal” Yang Faham Lingo Kita
Berbeza dengan AI generik dari luar negara, ILMUchat dicipta untuk “memahami” rakyat Malaysia. Ia mengenali dialek, loghat, slang dan nuansa tempatan menjadikannya lebih seperti berbual dengan rakan kita sendiri berbanding sekadar bot AI biasa. Untuk membuktikan keupayaannya sebagai alat pengekodan iaitu ciri baharu yang baru sahaja dilancarkan sempena pengenalan aplikasi mereka, YTL AI Labs menggunakan ILMUchat sendiri untuk membina keseluruhan permainan dalam Balik Kampung Kit ini.
6 Permainan Mini Raya Untuk Dicuba
Kit digital ini direka untuk mengisi masa lapang anda, sama ada ketika berehat dalam perjalanan ke kampung, menunggu hidangan rendang siap, atau sekadar mahu meluangkan masa bersama keluarga. ILMUchat menawarkan 6 permainan mini web bertemakan Aidilfitri:
-
Kutip Ketupat Raya — Gaya permainan Snake klasik, kutip ketupat sebanyak mungkin tanpa terlanggar dinding.
-
Padanan Raya — Uji daya ingatan anda dengan mencari pasangan kad Raya sebelum masa tamat.
-
Pat Pat Siku Lipat Raya — Permainan gaya Whack-a-Mole, ketuk mercun dan kuih raya secepat mungkin sebelum ia hilang.
-
Flappy Bird Hari Raya — Terbang mengelak pokok kelapa dan rumah kampung sambil mengutip sampul duit raya.
-
Raya Slingshot Chaos / Lastik Raya — Tarik lastik, tembak sasaran dan tangkap sampul duit raya.
-
Raya Crush — Permainan gaya Candy Crush, padankan simbol-simbol Raya dalam teka-teki berkilau.
Selain permainan, kit ini turut menyertakan ciri Papan Markah (Leaderboard) supaya anda boleh bersaing markah tertinggi dengan rakan dan ahli keluarga.
Tanya AI Tentang Persiapan Raya
Balik Kampung Kit ini turut mempamerkan kemampuan ILMUchat menjawab soalan-soalan tipikal musim perayaan dengan konteks budaya tempatan. Pengguna boleh bertanya pelbagai perkara, dari “berapa bajet duit raya patut saya beri mengikut umur?” sehinggalah “idea nak hiburkan anak-anak semasa berkunjung ke rumah saudara”.
Pengguna boleh mengakses kit dan permainan ini secara percuma terus melalui pelayar web di telefon pintar, atau memuat turun aplikasi ILMUchat di App Store dan Google Play untuk pengalaman yang lebih lengkap.