JomCharge dan Worldwide Holdings Sasar 1,000 Stesen Pengecas EV di Selangor Dalam 2 Tahun

JomCharge memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Worldwide Holdings Berhad (WHB) untuk melabur dan melaksanakan sekurang-kurangnya 1,000 stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) baharu di seluruh Selangor dalam tempoh 24 bulan.
Pertukaran dokumen MoU berlangsung pada 14 Oktober 2026 semasa Selangor International Business Summit (SIBS) 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, disaksikan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.
Di bawah kerjasama ini, JomCharge — yang dikendalikan oleh EV Connection Sdn Bhd — bertanggungjawab melabur dan melaksanakan infrastruktur pengecas, manakala WHB, anak syarikat milik penuh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), bertindak sebagai pengurus program strategik negeri untuk menyelaras pelaksanaannya.

Inisiatif ini adalah sebahagian daripada sasaran kerajaan negeri Selangor untuk mencapai 4,000 stesen pengecas EV menjelang 2030, sejajar dengan Selangor Agenda for Green Economy (SAGE) yang menggalakkan penggunaan EV dan peralihan kepada pengangkutan rendah karbon.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan WHB, Ahmad Zaki Ahmad Zainuddin, kerjasama dengan JomCharge adalah langkah positif menterjemah agenda mobiliti hijau Selangor kepada tindakan, dan WHB akan terus melibatkan lebih ramai pelabur serta rakan strategik bagi menyokong sasaran negeri itu. Pengarah Urusan JomCharge, Lee Yuen How, pula berkata Selangor kekal sebagai pasaran penting mobiliti elektrik dan pihaknya berbesar hati menyokong aspirasi negeri itu.
Butiran seperti campuran pengecas AC/DC dan lokasi spesifik 1,000 stesen tersebut belum didedahkan, jadi pemilik EV di Selangor perlu menunggu pengumuman lanjut mengenai lokasi pengecas baharu ini.
Sumber: SoyaCincau