CMF Clip Pro dan Buds Neo Tiba di Malaysia — Bermula RM129, Dijual Hari Ini

CMF Clip Pro dan Buds Neo Tiba di Malaysia — Bermula RM129, Dijual Hari Ini

CMF by Nothing melancarkan dua model audio baharu di Malaysia bermula hari ini, 19 Oktober 2026 — CMF Clip Pro dan CMF Buds Neo. Clip Pro, model open-ear pertama jenama itu, dijual pada harga RM359 manakala Buds Neo yang dilengkapi pembatalan hingar aktif (ANC) hanya RM129.

Kedua-duanya boleh dibeli melalui Nothing Image Stores, TMT, Urban Republic dan pengedar sah, serta dalam talian melalui Shopee, Lazada, TikTok Shop dan laman nothing.tech.

CMF Clip Pro — fon telinga open-ear pertama CMF

Clip Pro menggunakan rekaan klip tiga titik yang dipasang di sekeliling telinga, sesuai untuk pengguna yang mahu kekal peka dengan bunyi sekeliling ketika berlari atau berbasikal. Setiap fon telinga seberat 5.9 gram dengan jambatan berbentuk-C yang boleh dilentur untuk kesesuaian pelbagai bentuk telinga.

Dari segi audio, ia dipacu pemacu dinamik dwi-magnet 10.8mm dengan sokongan LDAC dan pensijilan Hi-Res Audio. Teknologi Clear Voice yang dikuasakan unit pemproses suara (VPU) bersama empat mikrofon HD membantu mengurangkan hingar latar semasa panggilan, manakala ciri Sound Seal mengurangkan kebocoran bunyi.

Kes pengecas dilengkapi tombol Smart Dial yang boleh dikustomasi untuk melaraskan kelantangan, mengawal main balik dan menjawab panggilan tanpa menyentuh telefon. Hayat bateri dianggarkan sehingga 10 jam sekali cas dan 32.5 jam keseluruhan dengan kes — cas pantas 10 minit memberikan sehingga 4 jam main balik. Turut disokong: Bluetooth 5.4, sambungan dwi-peranti, mod latensi rendah untuk gaming, Google Fast Pair dan penarafan IP54. Ia ditawarkan dalam tiga warna — Dark Grey, Light Grey dan Coral.

CMF Buds Neo dengan bekas pengecas rekaan dua-tona
CMF Buds Neo hadir dengan bekas pengecas rekaan dua-tona dan ANC sehingga 35dB pada harga RM129. Kredit: CMF

CMF Buds Neo — ANC 35dB pada RM129

Buds Neo pula menyasarkan segmen mampu milik dengan spesifikasi yang agresif untuk harganya. Ia menampilkan pemacu dinamik 12.4mm dengan kubah PET bersalut titanium, serta ANC sehingga 35dB dengan tiga tahap manual dan mod Adaptive yang melaraskan pengurangan hingar secara automatik mengikut persekitaran.

Sama seperti Clip Pro, ia menggunakan empat mikrofon dengan teknologi Clear Voice untuk panggilan yang jelas. Hayat bateri mencapai sehingga 11 jam sekali cas (ANC dimatikan) dan 52 jam keseluruhan dengan kes — dengan ANC dihidupkan, ia berkurang kepada 8 jam dan 30 jam. Cas pantas 10 minit melalui USB-C memberikan sehingga 5.5 jam main balik.

Ciri lain termasuk audio spatial statik, enam praset EQ serta EQ kustom melalui aplikasi Nothing X, penambah bes dua tahap, mod latensi rendah 120ms untuk gaming, dan Bluetooth 6.0 dengan sambungan dwi-peranti. Fon telinga dinilai IP54 manakala kes pengecas pula IPX2. Ia ditawarkan dalam warna Black, White dan Dark Blue.

Sumber: CMF by Nothing

Baca seterusnya