CEO ASUS Sedar Yang MacBook Neo Adalah Kejutan Untuk Industri PC

Pelancaran MacBook Neo pada harga permulaan RM2,499 — lebih murah daripada iPhone 17e — mendapat perhatian pengeluar PC Windows. CEO bersama ASUS, S.Y. Hsu, dalam sidang penilaian pendapatan syarikat minggu ini mengakui secara terus terang bahawa MacBook Neo adalah satu kejutan kepada seluruh industri PC.
Apple Masuk Segmen Bajet — Buat Pertama Kali
Selama ini Apple dikenali hanya bermain di segmen premium. Pelancaran MacBook Neo pada harga yang sangat kompetitif adalah sesuatu yang tidak pernah dijangka oleh industri. “Selama ini harga Apple sentiasa tinggi, jadi apabila mereka mengeluarkan produk yang mesra bajet, ini jelas satu kejutan kepada seluruh industri,” kata Hsu dalam kenyataan yang diterjemahkan daripada bahasa Cina.
Beliau turut mengesahkan bahawa semua pemain utama ekosistem PC — termasuk Microsoft, Intel dan AMD — sedang serius membincangkan strategi untuk bersaing dengan MacBook Neo. Tempahan awal MacBook Neo yang dibuka minggu lepas sudah pun menunjukkan permintaan yang tinggi, dengan masa penghantaran yang sudah meleret kepada beberapa minggu.
Kelemahan Yang Diakui
Walaupun mengakui ancaman MacBook Neo, Hsu turut menyenaraikan kelemahannya. RAM 8GB yang tidak boleh dinaik taraf sendiri oleh pengguna adalah batasan utama, dan MacBook Neo disifatkan lebih kepada peranti menikmati kandungan seperti iPad — bukannya komputer riba arus perdana untuk tugasan berat seperti video suntingan atau pembangunan perisian.
Faktor perbezaan ekosistem Windows juga dijangka menjadi halangan kepada pengguna yang sudah sebati dengan perisian Windows untuk beralih ke MacBook Neo.
Krisis Memori Halang Tindak Balas PC
Cabaran sebenar industri PC untuk bersaing adalah kekurangan bekalan memori yang semakin teruk ekoran permintaan AI yang melonjak. Hsu mendedahkan harga memori telah meningkat lebih 100% dalam suku ke suku — senario yang turut diakui oleh HP dan Framework. Kekurangan ini dijangka berterusan sehingga akhir 2027 apabila kilang memori baharu mula beroperasi, bermakna industri PC terpaksa menaikkan harga pada masa yang sama Apple menawarkan harga yang lebih rendah.