DMZ Call of Duty: Modern Warfare 4 Bermula Hari Ini — Pelancaran Penuh 23 Oktober

DMZ Call of Duty: Modern Warfare 4 Bermula Hari Ini — Pelancaran Penuh 23 Oktober

Call of Duty: Modern Warfare 4 membuka mod ekstraksi DMZ kepada pemain bermula hari ini, 20 Oktober — terhad kepada mereka yang membuat pra-tempahan atau prabeli mana-mana edisi digital permainan ini. Fasa akses awal ini berlangsung tiga hari sebelum pelancaran penuh pada Jumaat, 23 Oktober 2026.

Pusingan ini merupakan fasa kedua dalam jadual pelancaran berperingkat Activision: akses awal kempen telah pun bermula sejak 16 Oktober, manakala mod multiplayer kekal terkunci sehingga pelancaran penuh minggu ini.

DMZ extraction mode gameplay in Call of Duty Modern Warfare 4
Mod ekstraksi DMZ kembali di Modern Warfare 4 — pemain mesti menjarah dan melakukan extraction sebelum masa tamat. Kredit: Activision / Xbox

Tidak semua orang layak menyertai akses awal ini. Kelayakan diberi kepada pembeli edisi Standard digital (US$69.99) dan edisi Vault digital (US$99.99) di mana-mana platform — salinan fizikal tidak termasuk. Permainan ini juga tidak ditawarkan menerusi Xbox Game Pass semasa pelancaran, satu perubahan ketara berbanding Black Ops 6 dan Black Ops 7 yang kedua-duanya disertakan dalam langganan tersebut pada hari pelancaran.

DMZ merupakan mod ekstraksi yang kembali — pemain beroperasi sebagai aset tidak rasmi di belakang garisan musuh, memasuki zon terbuka untuk menjarah, menyelesaikan misi puak, serta bertarung dengan AI dan pasukan lawan. Objektifnya mudah tetapi mencabar: lakukan extraction sebelum masa tamat — gagal, dan semua loadout yang dibawa dalam larian itu hilang begitu sahaja.

Dari segi jalan cerita, kempen Modern Warfare 4 berpusat pada pencerobohan Korea Utara ke atas Semenanjung Korea. Pemain mengawal Private Park, seorang tentera muda Korea Selatan di barisan hadapan, di samping Captain Price yang kali ini bergerak sendiri di luar Task Force 141. Misi kempen merangkumi peperangan parit di Korea, pertempuran jarak dekat di New York, aksi kejar-mengejar di Paris dan serbuan malam SAS di Mumbai.

Modern Warfare 4 merupakan tajuk Call of Duty yang dibangunkan khusus untuk perkakasan generasi semasa sahaja — ia menyokong PlayStation 5, Xbox Series X|S, PC (menerusi Steam, Battle.net dan Xbox on PC) serta Nintendo Switch 2, dengan sokongan cross-play merentas semua platform. Tiada versi PS4 atau Xbox One ditawarkan.

Bagi pembeli di Malaysia, salinan fizikal PS5 versi R3 (Eng/Chn) kini boleh ditempah di kedai-kedai tempatan, walaupun harga muktamadnya masih belum diumumkan. Modern Warfare 4 tiba tepat pada musim permainan besar penghujung 2026 — termasuk GTA VI yang turut dinanti-nantikan.

Sumber: Xbox Wire

Baca seterusnya