Apple AirPods Max 2 Dilancarkan Dengan Cip H2, ANC 1.5x Lebih Baik, Harga RM2,299

Hampir enam tahun selepas generasi pertama, Apple akhirnya melancarkan AirPods Max 2 — kemas kini sebenar pertama fon kepala premium Apple sejak 2020. Ia kini dikuasakan oleh cip Apple H2 yang sama digunakan pada AirPods Pro 3, membawa peningkatan ketara pada ANC dan audio. Di Malaysia, harganya ditetapkan pada RM2,299 — lebih murah berbanding AirPods Max asal yang berharga RM2,399.
Cip H2: ANC 1.5x Lebih Baik
Peningkatan utama AirPods Max 2 adalah cip Apple H2 yang menghasilkan pembatalan hingar aktif (ANC) 1.5 kali ganda lebih berkesan berbanding model asal. Kesemua ciri teras yang digemari pengguna kekal hadir:
-
ANC Adaptive — menyesuaikan tahap pembatalan hingar secara automatik
-
Mod Tembus (Transparency Mode) — untuk dengar persekitaran tanpa tanggal fon kepala
-
Audio Spatial untuk pengalaman bunyi 3D yang imersif
-
Audio Nirhilang (Lossless Audio) — melalui sambungan kabel USB-C sahaja
-
Hayat bateri 20 jam dengan ANC aktif
Rekaan Asal Dikekalkan
AirPods Max 2 mengekalkan rekaan ikonik model 2020 — bahagian telinga aluminium dengan angkup kepala dilitupi bahan fabrik berjaring yang lembut. Apple tidak membuat sebarang perubahan fizikal ketara pada badan fon kepala ini.
Namun begitu, dua perkara yang dikritik sejak awal masih tidak diperbaiki. Pertama, tiada piawaian kalis air — fon kepala berharga RM2,299 ini masih tidak cukup tahan lasak berbanding pesaing. Kedua, Smart Case yang terdedah dan banyak dipertikaikan sejak 2020 masih dikekalkan dengan sebahagian fon kepala masih terdedah.
Warna & Ketersediaan Malaysia
AirPods Max 2 tersedia dalam lima pilihan warna: Blue, Purple, Midnight, Starlight dan Orange. Tarikh jualan rasmi di Malaysia belum diumumkan, namun pembeli turut menerima langganan percuma Apple Music selama 3 bulan.