Anthropic lancar Claude Frontier Academy dengan komitmen USD100 juta

Anthropic lancar Claude Frontier Academy dengan komitmen USD100 juta

Anthropic melancarkan Claude Frontier Academy, program latihan baharu dengan komitmen USD100 juta untuk melatih 10,000 Frontier Deployed Engineers (FDE) menjelang akhir 2027.

Program ini memfokuskan jurutera yang akan membantu organisasi membawa Claude daripada projek percubaan kepada sistem AI sebenar yang digunakan dalam operasi perniagaan. Penyertaan bukan dibuka kepada orang ramai, sebaliknya organisasi perlu mencalonkan jurutera mereka.

Kohort pertama sudah bermula di San Francisco, New York dan London, melibatkan peserta daripada Accenture, Bain, Capgemini, Commonwealth Bank of Australia, Deloitte, McKinsey, Morgan Stanley dan Novo Nordisk.

Latihan seperti program residensi

Program pertama di bawah akademi ini dinamakan Frontier Deployed Engineer Residency, dengan struktur yang diinspirasikan daripada latihan residensi perubatan.

Peserta bermula dengan latihan bersemuka selama beberapa hari bersama jurutera Anthropic dan pengajar berlesen. Mereka melalui simulasi pemasangan Claude dalam persekitaran perusahaan, termasuk memilih kes penggunaan, semakan keselamatan dan proses menyerahkan sistem kepada organisasi.

Ilustrasi rasmi Claude Frontier Academy.

Peserta yang lulus penilaian praktikal pertama menerima lencana Claude Resident Engineer sebelum memulakan residensi selama 12 minggu di organisasi masing-masing.

Sepanjang tempoh itu, mereka perlu mengetuai projek Claude sebenar dengan sokongan jurutera Anthropic. Penilaian kedua dibuat pada penghujung program sebelum peserta boleh menerima lencana Claude Frontier Deployed Engineer. Anthropic menjangka kumpulan pertama menamatkan program pada awal 2027.

Tak wajib pernah bina AI agent

Anthropic menyasarkan jurutera perisian yang mempunyai asas teknikal kukuh, pengalaman membina menggunakan model bahasa besar dan pernah membantu orang lain menggunakan AI.

Pengalaman membangunkan AI agent sebelum ini tidak diwajibkan.

Namun, setiap peserta perlu datang dengan projek Claude tertentu yang akan mereka ketuai selepas kembali ke organisasi masing-masing.

Menurut Anthropic, matlamatnya bukan sekadar menghasilkan lebih banyak pensijilan AI, tetapi membina jurutera yang mampu mengambil sesuatu idea dan membawa sistem berasaskan Claude sehingga digunakan dalam production.

Claude Frontier Academy turut menjadi kesinambungan kepada Claude Partner Network. Anthropic berkata profesional daripada sekitar 46,000 firma telah memperoleh lebih 175,000 pensijilan Claude, sementara hampir 4,000 peserta telah menamatkan program Basecamp.

Buat masa ini, Anthropic tidak mengumumkan pendaftaran terbuka atau kohort khusus untuk Malaysia. Organisasi yang berminat perlu mendapatkan maklumat kelayakan melalui pasukan akaun Anthropic atau Partner Account Manager.

Baca seterusnya